Dewan Rakyat Lulus RUU Anti-lompat Parti
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan
Rang Undang-undang (RUU) anti-lompat parti melalui undi belah bahagi selepas
bacaan ketiga.
RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama dua hari
bermula semalam melibatkan 54 Ahli Parlimen.
Semasa undi belah bahagi yang diumumkan Speaker Dewan
Rakyat Rakyat Azhar Harun, seramai 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong dan 11
lagi tidak hadir.
Penggubalan akta anti-lompat parti memerlukan sokongan
dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan
Persekutuan.
Ia memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan daripada
Ahli Parlimen atau dua pertiga bagi membolehkan ia diluluskan dan menjadi
sebahagian Perlembagaan Malaysia kelak.
RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana
Menteri, Ismail Sabri Yaakob semalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggulung perbahasan
RUU hari ini.
Pembentangan RUU anti-lompat parti adalah salah satu
syarat utama memorandum persefahaman (MoU) antara Ismail dan Pakatan Harapan
(PH).
Semasa sesi perbahasan, Shamsul Iskandar Mohd Akin
(PH-Hang Tuah Jaya) menyifatkan RUU itu sebagai “kemenangan untuk rakyat” dan
berharap ia akan membawa kepada lebih ramai pengundi keluar mengundi pada pilihan
raya umum akan datang.
“(Undang-undang ini akan menjadi) penamat kepada mereka
yang berniat untuk mengkhianati rakyat,” katanya semasa perbahasan sambil
menambah RUU itu adalah hasil positif kerjasama antara kerajaan dan PH.
Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud),
berharap undang-undang itu dapat menamatkan trend lompat parti di Sabah sejak
sekian lama.
“Sebagai orang Sabah, cukuplah dengan lompat-lompat
(parti) ini. Sabah akan terus ketinggalan kerana lompat parti hanya
menguntungkan pelompat dan bukannya rakyat,” katanya.
Awal bulan ini Wan Junaidi berkata, beliau menjangkakan
undang-undang itu akan dilaksanakan, pada akhir September jika RUU itu
diluluskan semasa mesyuarat Dewan Rakyat sidang ini.
Wan Junaidi ketika menggulung, berkata beliau berterima
kasih kepada Ismail yang sangat komited berhubung pindaan perlembagaan
berkenaan.
Beliau menekankan kepentingan dalam proses perbincangan
dan libat urus yang telah diadakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas bermula April
2022.
“Semangat tolak ansur dan kesediaan untuk berunding
diterapkan supaya kita boleh mencapai satu kata sepakat dalam penggubalan rang
undang-undang seperti mana Ahli Yang Berhormat lihat pada hari ini.
“Oleh itu, setiap orang di Dewan yang mulia ini perlu
dengan izin ‘vote according to your conscience’,” katanya.
Wan Junaidi berkata, beliau setuju RUU itu bukan
penyelesaian 100% kepada semua permasalahan yang timbul.
Bagaimanapun, katanya kelulusan yang diperoleh Dewan
Rakyat itu merupakan langkah pertama.
Sumber: freemalaysiatoday.com
0 Response to "Dewan Rakyat Lulus RUU Anti-lompat Parti"