Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(CUEPACS) mencadangkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800
sebulan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia mengambil kira
pendapatan semasa penjawat awam yang dilihat tidak mencukupi untuk menampung
kos sara hidup semakin meningkat.
"Pada masa ini kami kurang selesa dengan dapatan gaji
ini, perbelanjaan juga tidak adil dengan harga barang yang semakin hari semakin
mencengkam.
"Justeru itu situasi ini amat tidak adil untuk pendapatan
(penjawat awam) sebegitu rupa," katanya kepada pemberita selepas majlis
berbuka puasa yang diadakan sejurus Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS di
sini hari ini.
Adnan berkata, pihaknya sudah pun membuat cadangan kepada
kerajaan supaya gaji minimum ini perlu ditingkatkan kepada RM1,800.
"Walaupun kerajaan meluluskan RM1,500 untuk GLC
(syarikat berkaitan kerajaan), tetapi kami mahu RM1,800," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac
lalu mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan
berkuat kuasa 1 Mei ini. Ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan
syarikat-syarikat besar dan GLC.
Sementara itu, Adnan berkata apabila berlakunya perubahan
gaji minimum yang baharu, akan berlaku tangga gaji yang rapat antara pekerja
baharu dan pekerja lama, maka pihaknya memohon dua kenaikan gaji untuk penjawat
awam.
Selain itu, katanya sistem saraan baharu hendaklah
dijalankan segera supaya ia lebih komprehensif dan penjawat awam mampu untuk
berada dalam keadaan selesa dengan perbelanjaan yang adil.
"Sebab kita telah pun 20 tahun menjalankan sistem
saraan yang sama iaitu Sistem Saraan Malaysia, jadi sistem saraan ini perlu
diganti," katanya.
Sumber: BERNAMA