Kuala Lumpur: Pengeluaran tunai MyDebit (MyDebit Cash Out)
yang akan dikenakan caj sebanyak 50 sen, mulai 1 Julai ini adalah untuk setiap
transaksi pengeluaran tunai, bukan bagi tujuan pembayaran menggunakan kaedah
tanpa tunai payWave atau pin oleh pemegang kad MyDebit.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna
Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, Fomca difahamkan bahawa caj
itu dikenakan bagi pengguna yang mahu keluarkan wang tunai tanpa perlu ke mesin
pengeluaran wang automatik (ATM).
Katanya, mengenai caj ini memang agak mengelirukan orang
ramai kerana masih ada yang tidak berapa faham tujuan caj berkenaan.
"Apa yang saya faham, caj 50 sen itu adalah bagi
mengeluarkan duit tunai di fasiliti tertentu seperti kedai runcit atau premis
yang menyediakan kemudahan pengeluaran tunai.
"Tapi kalau kita membuat bayaran guna kad debit seperti
payWave memang tiada caj. Pada pendapat saya kalau caj pengeluaran itu untuk
keluarkan wang tunai ia bukan isu besar, namun jika pembayaran dikenakan bagi
membuat pembayaran menggunakan kad debit, itu perlulah dikaji semula.
"Kita risau pengguna keliru dan sepatutnya caj 50 sen
ini diperjelaskan betul-betul," katanya kepada Harian Metro.
Mohd Yusof berkata, kawasan di luar bandar dan pedalaman yang
tiada perkhidmatan kemudahan bank ini selalunya akan mengeluarkan wang tunai di
premis yang tersedia.
Menurutnya, setakat ini Fomca tidak menerima sebarang aduan
mengenai caj terbabit dan pihaknya menyarankan selepas 1 Julai ini, jika
pengguna menghadapi masalah caj terbabit aduan boleh dibuat terus kepada Bank
Negara Malaysia (BNM).
"Bagaimanapun, bagi pembayaran menggunakan kad debit,
tiada caj yang akan dikenakan kerana Malaysia memang menuju ke arah pembayaran
tanpa tunai dan jika caj itu dikenakan sudah pasti ia merencatkan peralihan ke
arah masyarakat tanpa tunai menjelang 2025," katanya.
Sebelum ini, beberapa bank sudah memaklumkan pelaksanaan caj
50 sen bagi setiap pengeluaran tunai MyDebit di premis dan peruncit terpilih.
Antara bank terbabit ialah seperti CIMB, Alliance Bank,
HSBC, Bank Islam, OSBC dan Standard Charted juga ikut serta dalam perubahan
itu.
MyDebit Cash Out membolehkan rakyat Malaysia mengeluarkan
wang daripada peniaga atau peruncit terpilih secara langsung untuk membeli
barangan dan produk, manakala perkhidmatan PayNet yang lain seperti DuitNow,
JomPAY, DirectDebit, FPX dan GIRO Antara Bank tidak terjejas oleh perubahan
ini.
Bagaimanapun, penyedia MyDebit Cash Out, PayNet masih belum
mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara ini.
Sumber: hmetro