KUALA
LUMPUR: Pelaksanaan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bersasar wajar dipertimbangkan
kerajaan bagi menyokong perbelanjaan dan kesan kos sara hidup harian dihadapi
golongan B40 dan sebahagian M40.
Penganalisis
ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata ia bermaksud bagi isi rumah
kategori B40 dan sebahagian M40, kos pinjaman mereka tidak dinaikkan bagi
membolehkan mempunyai tunai yang lebih di tangan.
Beliau
berkata, pengecualian itu dijangka tidak mengurangkan keberkesanan OPR kerana
jumlah pinjaman sebahagian besarnya dibuat oleh pertubuhan perniagaan dan
mereka yang berpendapatan tinggi.
"Kita
berhadapan dalam tadbir urus ekonomi yang mencabar kerana krisis ekonomi pada
ketika ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
"Situasi
ini menuntut kepada inovasi pelaksanaan instrumen ekonomi dan pada ketika ini
golongan berpendapatan rendah amat terkesan dan perlu terus dilindungi,"
katanya kepada BH hari ini.
Semalam,
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan
menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.
Susulan
peningkatan itu, kadar siling dan lantai OPR juga meningkat, masing-masing
kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.
Ia
adalah kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR
sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus Mei lalu.
Mohd
Yusof berkata, implikasi kepada peningkatan OPR ialah peminjam bank perlu
membayar kos lebih tinggi untuk pinjaman yang tidak berkadaran tetap termasuk
pinjaman perumahan.
"Ini
bermakna pendapatan boleh guna atau tunai di tangan isi rumah sudah berkurangan
untuk kegunaan perbelanjaan harian.
"Peningkatan
harga barangan keperluan asas terutamanya makanan yang berlaku pada ketika ini
akan memberi tekanan berganda kepada isi rumah.
"Peningkatan
harga makanan bukan sahaja memberi impak langsung kepada isi rumah malah
memberi impak tak langsung melalui peningkatan harga barangan lain yang
disebabkan oleh kesan rantaian," katanya.
Sumber:
bharian