Putrajaya: Langkah awal sudah diambil oleh Kementerian
Kesihatan (KKM) berikutan pengumuman Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang
Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) berkaitan dengan jangkitan monkeypox atau cacar monyet.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia
termasuk mengingatkan semua fasiliti kesihatan supaya peka dengan situasi
semasa jangkitan berkenaan serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan
pesakit yang berisiko.
Menurutnya, sehingga Sabtu lalu, sejumlah sembilan kes
disyaki monkeypox sudah dinotifikasikan kepada pihaknya bagaimanapun semua kes
berkenaan disahkan negatif.
"Selain itu KKM turut meminta fasiliti kesihatan
kerajaan dan swasta mengenai keperluan untuk notifikasikan kes yang disyaki
atau disahkan monkeypox dalam kadar segera bagi memastikan langkah kawalan dan
pencegahan dapat diambil, termasuk mengenalpasti kontak rapat kes.
"KKM turut mewujudkan survelan sentinel di
beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau
lesi kulit; mempertingkatkan kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian
pengesanan virus monkeypox dengan penambahan dua makmal menjadikan jumlah
keseluruhan sebanyak 12 makmal (lapan makmal kerajaan dan empat makmal swasta).
"Mempertingkatkan survelan di pintu masuk
antarabangsa negara (PMA) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),
syarikat penerbangan dan agensi berkaitan termasuk Malaysian Airlines Holding
Berhad (MAHB) serta bekerjasama dengan beberapa kementerian dan badan bukan
kerajaan (NGO)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Khairy memaklumkan sehingga Sabtu lalu,
pihak MySejahtera sudah mengeluarkan amaran kesihatan monkeypox (Health Alert
Monkeypox) kepada 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara
melaporkan kes jangkitan berkenaan.
Khairy menegaskan, individu individu yang mempunyai
gejala monkeypox untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan
rawatan lanjut dan elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan
penularan jangkitan.
Mengulas lanjut mengenai jangkitan monkeypox, Khairy
berkata virus berkenaan boleh boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan
ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah
menjadi kuping (scab), ataupun cairan daripada lesi terbabit.
"Transmisi virus juga boleh berlaku melalui
sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti, sama ada dengan cara digigit
atau dicakar oleh haiwan terbabit, atau dengan cara memakan ataupun menggunakan
hasil produk haiwan berkenaan.
"Sentuhan dengan peralatan yang tercemar dengan
lesi kulit ataupun cairannya juga boleh menyebabkan jangkitan dan kes monkeypox
boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum
terjadinya lesi pada kulit, sehinggaa 21 hari daripada bermulanya gejala atau
sehingga lesi pada kulit menjadi kuping (scab) dan pesakit tidak lagi
bergejala.
"Kes jangkitan monkeypox boleh pulih tanpa
sebarang rawatan. Rawatan yang diberikan adalah bagi merawat gejala yang
dialami oleh pesakit. Penularan virus monkeypox pada ketika ini dilaporkan
berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan
seks dengan lelaki (MSM) atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti
pekerja seks dan transgender.
"Namun demikian, penyakit ini bukanlah penyakit
bagi kumpulan ini secara ekslusif kerana ia boleh juga menjangkiti ahli
keluarga melalui sentuhan," katanya.
Sehingga Jumaat lalu, sebanyak 16,836 kes monkeypox
dengan lima kematian dilaporkan di 74 buah negara, jumlah itu meningkat mendadak
dalam tempoh dua bulan berbanding yang dilaporkan pada 17 Jun lalu dengan 2,103
kes serta satu kematian di 42 buah negara.
Sumber: hmetro