KUALA LUMPUR: Graduan ijazah sarjana muda kelas pertama
tanpa mengambil kira status ekonomi, bangsa dan agama mereka dikecualikan
daripada membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional
(PTPTN).
Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob yang berkata, keistimewaan itu diberikan semula kepada
peminjam yang menamatkan pengajian bermula pada tahun 2019.
Sehubungan itu, beliau berharap PTPTN dapat berbincang
dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut terutamanya dari segi
peruntukan yang terlibat.
“Ini sebagai dorongan kepada anak-anak Keluarga
Malaysia untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan kelulusan yang
terbaik dalam pengajian mereka.
“Saya juga melihat PTPTN telah memberikan tumpuan
kepada aspek penabungan dalam kerjasama strategik.
“Justeru, PTPTN juga boleh melaksanakan inisiatif yang
sama untuk meningkatkan kutipan bayaran balik pinjaman,” katanya ketika berucap
pada Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, PTPTN telah
membantu lebih 3.67 juta rakyat meneruskan pengajian dengan keseluruhan
berjumlah RM66.87 bilion sehingga kini.
Tambahnya, ramai yang telah menamatkan pengajian dan
memperolehi pekerjaan yang baik dan beliau menegaskan, pembayaran balik
pinjaman pendidikan amat mustahak bagi menjamin kesinambungan dana kepada
pelajar baharu.
“Saya difahamkan, sehingga akhir bulan lepas, lebih 2
juta atau 82.04 peratus peminjam telah membayar balik pinjaman dengan jumlah
kutipan sebanyak RM 17.8 bilion.
“Terima kasih saya ucapkan kepada para peminjam yang
komited membuat bayaran balik.
“Bagi yang belum berbuat demikian, saya menasihatkan
supaya melunaskan pinjaman agar proses pinjaman kepada peminjam lain seterusnya
tidak tertangguh,” ujarnya.
Dalam ucapan sama, Ismail Sabri Yaakob turut merakamkan
ucapan tahniah kepada Pengerusi PTPTN yang baharu, Apli Yusoff yang memulakan
tugasnya pada 18 Julai lepas.
“Dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki, saya
yakin beliau mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik di PTPTN.
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah
dan penghargaan kepada seluruh warga PTPTN atas segala khidmat bakti, dan
komitmen yang dicurahkan sejak 25 tahun penubuhan PTPTN untuk memastikan tiada
Keluarga Malaysia yang tercicir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih
tinggi,” katanya.
Sumber: astroawani