Isnaraissah
Munirah Majilis (Kota Belud-Warisan) digantung dua hari daripada menghadiri
persidangan Parlimen selepas diarah keluar Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker,
Rashid Hasnon.
Perintah
itu dikeluarkan Rashid selepas Isnaraissah meminta Speaker Dewan Rakyat, Azhar
Harun menjelaskan tindakan menolak usul dikemukakannya berhubung dua anak
syarikat Petronas di Azerbaijan yang dilapor dirampas waris kesultanan Sulu.
Isnaraissah
berkata, sudah tiga kali usulnya mengenai anak syarikat Petronas itu ditolak.
Dewan
Rakyat kecoh selepas beberapa Ahli Parlimen dari Sabah tidak berpuas hati usul
itu ditolak dan Isnaraissah digantung dua hari.
“Buat
kali ketiga speaker menolak usul yang saya bawa di Dewan Rakyat tentang
tuntutan Sulu. Sampai tahap apa usul ini boleh dibahaskan di Dewan ini. Ini
soal kedaulatan negara, bukan soal remeh-temeh. Sebab Sabah ke bukan negeri
lain,” katanya.
Isnaraissah
juga memohon Ahli Parlimen Sabah menyokongnya supaya usul mengenai tuntutan
Sulu dibahaskan.
Bagaimanapun,
Azhar meminta Isnaraissah tidak mengganggu Dewan dan memutuskan usul itu
ditolak.
Azhar
berkata, Dewan Rakyat sebelum ini telah membenarkan satu sidang khas mengenai
aset Petronas di Azerbaijan dibahaskan dan diberi penerangan oleh menteri
ekonomi.
Beliau
juga menjelaskan usul itu subjudis berikutan menerima pandangan undang-undang
kerana ada satu atau dua prosiding masih berjalan ketika ini.
“Peraturan
mesyuarat amat terang dalam hal ini, saya terpaksa pakainya,” katanya.
Azhar
turut menafikan usul itu mempunyai konflik kepentingan selepas didakwa
Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) bahawa beliau tidak layak menentukannya
selepas dikaitkan dengan abangnya yang juga Peguam Negara, Idrus Harun.
“Saya
tak ada kena mengena dengan abang saya (Idrus). Saya tak cakap dengan dia pun.
Saya tak pernah cakap soal kerja dengan beliau.
“Sekiranya
apa-apa berlaku dalam Dewan ini menyentuh beliau, maka saya selalu akan
kecualikan diri saya daripada buat keputusan,” katanya.
Isnaraissah
bagaimanapun tidak berpuas hati dan berkata, walaupun menteri ekonomi sudah
memberi penjelasan panjang lebar, aset Petronas tetap dirampas.
Beliau
juga beberapa kali meminta satu tarikh diberikan untuk bentang usul itu.
Isnaraissah,
diberi amaran dua kali oleh Rashid selepas beberapa kali mengganggu Menteri
Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan untuk membahas mengenai Akta
Perhutanan.
Rashid
mengenakan arahan itu selepas menggantikan Azhar untuk mengendali sesi Dewan
Rakyat pagi tadi selepas Azhar menerangkan usul Isnaraissah itu ditolak.
Namun,
beberapa Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati tindakan Rashid dan
mengganggu perbahasan Takiyuddin di Dewan Rakyat.
Rashid
kemudian meminta Isnaraissah membuat surat rayuan sekiranya mahu usul itu
dibahaskan di Dewan Rakyat.
Segera
tetap tarikh
Sementara
itu, dalam sidang media di Parlimen, Isnaraissah berkata beliau akan
mengemukakan usul mengenai tuntutan Sulu terhadap Sabah kali keempat hari ini
dan mendesak speaker supaya menetapkan segera tarikh agar isu itu dibahaskan di
Dewan Rakyat.
“Hari
ini kita akan hantar semula usul kepada speaker, dan jika tadi (di dalam Dewan)
speaker beri bayangan untuk menerima (dibahaskan), saya harap ia akan
disegerakan,” katanya.
“Kita
selesaikan isu tuntutan ini, ‘once for all’. Takkan orang Sabah mahu tunggu
1,000 tahun lagi baru mahu selesai? Yang diserang lanun kami, yang terima kesan
secara langsung kami, jadi kita minta kerajaan pusat ambil tindakan tegas,
jangan takut,” tegasnya lagi.
Sumber:
freemalaysiatoday