PASIR SALAK: Kerajaan memberi bayangan akan meningkatkan
pemberian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada fasa seterusnya sekiranya isu
kenaikan harga barang dalam negara masih berlarutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
langkah berkenaan merupakan usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban
rakyat yang terkesan khususnya golongan B40.
“Bantuan BKM RM2,600 siapa nak bagi? Kerajaan sekaranglah
yang bagi. Kalau dulu, tak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan bagi bantuan
lebih daripada RM2,000. Kita sekarang bagi RM2,600.
“Jadi kalau kes harga barang naik lagi dan masih tak
selesai, BKM Fasa Ketiga, Fasa Keempat, (jika) ada lagi, mungkin kita akan bagi
tambah lagi peruntukan untuk kesenangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kenduri Rakyat
bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Siri Kelima di Litar Dato’
Sagor, dekat sini pada Ahad.
@utusantvofficial PM kata kalau BKM tak cukup nanti tambah lagi...tapi untuk B40 sahaja ye. #beritaditiktok #TrendingNewsMalaysia #fyp ♬ Epic Music(863502) - Draganov89
Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad;
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ahli Parlimen Pasir
Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Pada 22 Jun lepas Perdana Menteri mengumumkan bantuan tunai
tambahan di bawah BKM iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang
setelah kerajaan mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga
barang makanan kebelakangan ini.
BKM Fasa 2 ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan
bernilai RM630 juta, menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak
RM8.2 bilion.
Sumber: astroawani