Bantuan BKM Fasa 2 : Bayaran bermula hari ini. Sejumlah 8.6
juta penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2 mula menerima bayaran
secara berperingkat mulai hari ini melibatkan peruntukan berjumlah RM1.74
bilion.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
berkata, jumlah penerima itu meliputi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas
(bujang atau tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang boleh menyemak status
pembayaran pada tarikh sama melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
Menurut beliau, BKM Fasa 2 ditambah baik sebagaimana
diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini dengan
bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta sekali gus menjadikan jumlah
peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8 bilion.
“BKM inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam
Bajet 2022 bagi membantu mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca
pandemik dan meringankan beban kos sara hidup.
“Setakat ini, 8.6 juta penerima BKM diluluskan dengan isi
rumah bakal menerima sehingga RM2,600 sekeluarga pada tahun ini,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Menurut Zafrul, BKM merupakan bantuan tunai langsung
tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan
Sara Hidup (BSH).
Sebagai perbandingan, katanya, kadar maksimum BKM adalah
RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480) iaitu peningkatan bantuan
sebanyak 120 peratus sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan.
Meningkat
Selain itu, beliau menjelaskan, jumlah penerima BKM juga
meningkat sebanyak 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja.
“Peningkatan ini kerana had kelayakan untuk menerima BKM
dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada
RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.
“Ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak menerima
bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40
seperti inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, lazimnya, BKM
dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya BKM kini
memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu bersamaan dengan 60 peratus daripada
rakyat dewasa di Malaysia.
Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor
luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi
memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.
Katanya, kerajaan juga sentiasa memantau situasi semasa dan
yakin bahawa dasar kerajaan, baik dari segi bantuan langsung mahupun yang tidak
langsung seperti subsidi keperluan asas, adalah bertujuan memastikan kebajikan
rakyat sentiasa terbela.