Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) sudah melancarkan Be U,
sebuah bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya.
Menggunakan teknologi pertama seumpamanya, penyelesaian
natif awan (cloud-native solution) ini dijangka menjadi batu asas kepada semua
bank digital akan datang di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata, aplikasi perbankan serba baharu ini tersedia
kepada orang ramai sejak pertengahan Jun tahun ini dan menyasarkan antara
350,000 dan 400,000 muat turun dan pengguna aplikasi Be Udalam tempoh 12 bulan
pertama operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Muazzam Mohamed
berkata, Be U adalah pencetus perubahan bagi Bank Islam dan industri perbankan
Islam dengan memanfaatkan landskap teknologi kewangan (fintech) yang pesat
berubah.
"Melalui Be U, Bank Islam beralih fokus daripada
mementingkan produk kepada sifat mengutamakan pelanggan dalam membentuk produk
yang memenuhi keperluan mereka.
"Usaha ini sejajar dengan pelan strategik perniagaan
lima tahun Bank Islam (LEAP25) yang bermatlamat untuk meletakkan bank ini
sebagai peneraju penyelesaian kewangan Syariah-ESG (alam sekitar, tanggungjawab
sosial dan tadbir urus) lengkap dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan
kewangan sosial menjelang tahun 2025," katanya.
Mohd Muazzam berkata, Be U disasarkan kepada generasi muda,
menawarkan akaun simpanan yang membenarkan baki sifar, fungsi pindahan dana dan
ciri Nest yang membantu pengguna menabung untuk matlamat tertentu.
Beliau menambah dalam tempoh 12 bulan akan datang, fungsi
atau tawaran baharu dalam aplikasi Be U akan diperkenalkan secara berperingkat
termasuk deposit bertempoh, pasaran gig, kad debit, pengurusan kewangan
peribadi, pembiayaan mikro, takaful mikro dan banyak lagi.
"Kami mahu menjadikan Bank Islam sebagai sebuah
organisasi yang lebih tangkas dengan menggunakan cara kerja baharu, menarik
bakat dengan set kemahiran baharu, menggunakan teknologi terkini serta
memanfaatkan data dan automasi yang akan membolehkan kami memberi perkhidmatan
yang lebih baik kepada pelanggan.
"Be U memfokuskan kepada segmen pelanggan yang tidak
menjadi tumpuan oleh Bank Islam iaitu menarik golongan pengguna yang masih di
peringkat awal kehidupan bekerja mereka.
"Apabila kedudukan kewangan pelanggan ini lebih stabil
dan mereka memerlukan produk dan instrumen kewangan yang lebih kompleks, Be U
akan berada bersama mereka dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan Bank
Islam," katanya.
Pengguna boleh memuat turun aplikasi Be U Bank Islam secara
percuma melalui GooglePlay Store dan Apple App Store.
Untuk
mengetahui lebih lanjut mengenai Be U, pelanggan boleh melayari laman
www.getbeu.com atau mengikuti akaun media sosial Be U di Facebook
@beubybankislam dan Instagram @getbeu.
Sumber: hmetro