KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem
Mohd Fahmi bakal beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun Di Cali,
Colombia dari 1 hingga 6 Ogos ini selaku remaja keempat terpantas Asia dalam
acara 100 meter (m) dan 200m.
Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata,
berdasarkan catatan musim 2022, atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita,
merupakan yang terpantas dengan catatan 10.16 saat (s) manakala jaguh Thailand
berusia 16 tahun, Puripol Boonson, merekodkan masa 10.19s di kedudukan kedua.
Ketiga terpantas adalah pelari China, Wang Shuang
dengan masa 10.23s dan Muhammad Azeem berusia 18 tahun di kedudukan keempat
dengan catatan 10.28s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers yang
berlangsung bulan lepas.
Dalam acara 200m, Booson merupakan yang terpantas
selepas merakam masa 20.19s, diikuti atlet Korea Selatan ,Son Ji-won, 19,
(20.80s), Yan Haibin, 19 dari China (20.88s) dan Muhammad Azeem dengan catatan
20.89s yang dilakukan pada Kejohanan Remaja Sarawak di Kuching, bulan ini.
Muhammad Amir berkata sasaran Muhammad Azeem yang akan
beraksi dalam 100m dan 200m di Cali adalah mara ke final 100m dan untuk berada
dalam kelompok pelumba di pentas akhir anak buahnya perlu mencatat masa di
bawah 10.30s.
Beliau berkata dengan rekod 10.28s yang dicipta
baru-baru ini, tidak mustahil juga untuk Muhammad Azeem membuat kejutan
termasuk memecahkan rekod kebangsaan di Cali.
"Apabila di final apa yang berlaku sama ada menang
pingat atau cipta rekod, itu dianggap sebagai bonus. Sasaran terdekat adalah
melayakkan diri ke final dan tidak mustahil beliau dapat melakukannya.
"Sebenarnya tidak mustahil kalau berlaku sesuatu
di luar jangkaan seperti menang pingat, tidak kiralah apa warna sekali
pun," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Namun, walaupun Muhamamd Azeem kini berada pada tahap
terbaiknya, Muhammad Amir berkata semuanya bergantung ke atas keadaan anak
buahnya itu ketika berada di sana apabila terpaksa cepat menyesuaikan diri
selepas mengharungi perjalanan yang jauh.
"Yang paling memberi kesan adalah dari aspek 'jet
lag' (kelesuan), perjalanan agak jauh, memakan masa lebih kurang 48 jam, jadi
saya lebih risau mengenai pemulihan beliau daripada 'jet lag', katanya.
Beliau berkata di Cali, pelari tumpuan dalam acara 100m
adalah Letsile Tebogo dari Botswana yang berusia 19 tahun selepas muncul
satu-satunya remaja yang berlari di bawah 10s pada musim ini dengan catatan
9.94s. Muhammad Azeem ke-30 dalam ranking remaja terpantas dunia.
Selain Muhammad Azeem, tiga lagi atlet remaja negara
yang berpeluang memperagakan kehebatan di Cali adalah atlet 110m lari berpagar
lelaki, Elvin Yap, Jonah Chang (lontar peluru lelaki) dan Muhammad Shah
Sholihin dalam acara lompat kijang.
Sumber: BERNAMA