Awas
dengan sindiket penipuan menggunakan nama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
yang dikesan masih giat memperdaya mangsa.
LHDN
menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bagi tempoh 1 Januari sehingga 27 Mei
lalu, 556 kes membabitkan kerugian lebih RM15.26 juta disiasat.
Menurut
LHDN, modus operandi digunakan sindiket itu adalah dengan memperkenalkan diri
kononnya sebagai pegawai LHDN melalui panggilan telefon dan menyatakan syarikat
atau perniagaan mangsa mempunyai tunggakan cukai yang mesti dilunaskan.
"Mangsa
terkeliru dengan panggilan ini kebiasaannya membuat penafian dan seterusnya
panggilan akan disambungkan kepada individu menyamar sebagai polis, pegawai
Bank Negara Malaysia (BNM) atau pegawai penguat kuasa lain dan memaksa mangsa
untuk membuat laporan rasmi.
"Mangsa
kemudian dikaitkan pula dengan kegiatan pengubahan wang haram, pengedaran dadah
atau kegiatan jenayah lain sehinggakan mangsa menjadi panik dan mereka diminta
untuk menyerahkan maklumat perbankan termasuk nombor TAC atau OTP," kata
kenyataan itu.
Menurut
kenyataan, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun
sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga dan suspek tidak dapat dihubungi.
Katanya,
LHDN tidak akan membincangkan hal berkaitan percukaian melalui panggilan telefon
peribadi sebaliknya permohonan maklumat daripada pembayar cukai dan arahan
pembayaran cukai tertunggak akan dilakukan melalui surat atau e-mel rasmi
menggunakan domain @hasil.gov.my.
"Selain
itu, pembayar cukai hendaklah memastikan bayaran cukai pendapatan dan cukai
keuntungan harta tanah dibuat kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau
LHDN manakala bayaran duti setem dibayar kepada pemungut duti setem,"
katanya.
Orang
ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan membuat pengesahan dengan LHDN
terlebih dahulu terhadap setiap panggilan, e-mel mahupun surat meragukan dengan
menghubungi talian Hasil Care Line atau pegawai yang boleh disemak senarainya
pada portal rasmi www.hasil.gov.my atau hadir ke cawangan berhampiran.
Orang
ramai juga boleh membuat semakan modus operandi sindiket penipuan melalui media
sosial dan portal rasmi.
Sumber:
hmetro