KUALA
LUMPUR: Polis menjalankan siasatan berhubung kes melibatkan seorang lelaki yang
mendakwa kenderaan miliknya yang disewakan menerusi satu aplikasi dalam talian
telah hilang pada Rabu.
Ketua
Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata,
kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
"Kes
ini membabitkan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan dan kenderaan
pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard model AGH30 bernilai RM361,723.71.
"Kes
disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu)," katanya dalam
kenyataan pada Rabu.
Katanya,
siasatan awal dijalankan mendapati, mangsa mendaftarkan akaun melalui satu
aplikasi dalam talian untuk menyewakan kenderaan milik isteri mangsa dengan
kadar sewaan RM700 sehari.
"Pada
9 Jun lalu, mangsa telah menerima notifikasi menerusi aplikasi berkenaan bahawa
terdapat pelanggan yang berminat menyewa kenderaan tersebut selama sehari mulai
29 hingga 30 Jun 2022.
"Urusan
pengambilan dan penghantaran kenderaan kepada pelanggan diuruskan oleh pihak
aplikasi berkenaan," katanya.
Menurutnya,
pihak tersebut telah menyerahkan kenderaan milik mangsa kepada seorang lelaki
tempatan dan urusan serahan dilakukan di Bangsar South Kuala Lumpur pada 29 Jun
lalu.
"Namun
pada 30 Jun, penyewa kenderaan tersebut didapati gagal memulangkan kereta pada
masa dan tarikh yang ditetapkan.
"Pihak
aplikasi tersebut memaklumkan mahu mengambil kenderaan tersebut daripada suspek
tetapi pihak suspek menegaskan akan memulangkan kereta tersebut terus kepada
mangsa dan meminta wakil pihak aplikasi membatalkan penghantaran
tersebut," katanya.
Ujar
Amihizam, mangsa telah menghubungi suspek dan dimaklumkan bahawa kenderaan
tersebut telah diserahkan kepada penyewa lain di Banting.
"Bagaimanapun,
mangsa telah gagal menghubungi suspek serta kenderaan tersebut tidak
dikembalikan sehingga ke hari ini.
"Pihak
aplikasi tersebut telah hadir membuat satu laporan polis bertujuan sebagai
covering report (penafian) dan laporan polis tersebut telah diklasifikasi
sebagai ROR (Refer To Other Report) kepada aduan dibuat oleh mangsa pada 1
Julai lalu bagi tindakan siasatan selanjutnya," katanya.
Sumber:
Sinar Harian