Saham tonggak Johor Darul Takzim (JDT), La'vere Corbin-Ong
terus melonjak apabila dia disenaraikan antara bek paling menonjol sepanjang
aksi kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menerusi laman web badan
induk itu pada Sabtu lalu menyenaraikan Corbin-Ong dalam kalangan lapan
pertahanan paling menonjol.
Turut berada dalam senarai berkenaan adalah bintang
Singapura, Irfan Fandi yang mewakili BG Pathum United, Ahmed Yasser (Al Rayyan
SC), Pedro Henrique (Lion City Sailors), Aref Aghasi (Foolad FC), Husniddin
Aliqulov (FC Nasaf), Danial Esmaeilifar (Sepahan) dan Hwang Jae-won (Daegu FC).
Menurut statistik dari AFC, Corbin-Ong muncul pertahanan
paling banyak melakukan bantuan gol iaitu sebanyak tiga kali sepanjang saingan
peringkat kumpulan.
Pemain berusia 31 tahun itu turut merekodkan 26 kemenangan
dalam perebutan bola dengan 83 peratus bentesan yang berjaya dilakukan.
Corbin-Ong menjadi antara watak penting dalam membantu
Harimau Selatan mencipta sejarah mara ke pusingan kalah mati ACL buat kali
pertama selepas muncul juara Kumpulan I.
Pengiktirafan yang diberikan itu pasti menjadi motivasi
tambahan buat Corbin-Ong dengan JDT akan mengharungi peringkat 16 terbaik
berdepan kelan Jepun, Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama, 19 Ogos ini.
Sumber: BHarian