KERAJAAN Sabah sebelum ini (Parti Warisan) melakar sejarah
apabila melancarkan jenama produk minyak masak sendiri, BESS yang akan
melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri, hari ini.
Pengeluaran BESS yang diterajui anak syarikat Benta Wawasan,
Benta Edible Oil Sdn Berhad (Benta Edible Oil) mampu memproses dan mengeluarkan
kira-kira 2,000 tan metrik minyak masak sebulan.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata,
inisiatif pembinaan kilang pemprosesan minyak masak yang menelan belanja RM3.5
juta itu mampu mengurangkan eksport minyak sawit mentah disamping merancakkan
lagi industri hiliran di negeri ini.
Beliau berkata, Sabah adalah antara negeri yang mempunyai
keupayaan dalam mengeluarkan hasil minyak kelapa sawit dalam kapasiti besar
selain untuk dieksport.
“Selama ini kita banyak mengeksport minyak sawit ke luar
negara. Ini akan menjadi titik permulaan untuk kita mewujudkan lebih banyak
kilang yang mampu mengeluarkan produk yang kompetitif selain menyokong industri
hiliran yang ada.
“Ini antara usaha yang kita lakukan bagi mewujudkan peluang
pekerjaan kepada rakyat sekali gus mengurangkan penghijrahan golongan belia dan
anak muda mencari pekerjaan di Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis
pelancaran minyak masak BESS di kilang pemprosesan Benta Edible Oil di Tawau,
hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap produk minyak masak yang
ditawar pada harga berpatutan itu akan memberi manfaat kepada semua pihak.-
bharian