MEMBUKA
stesen televisyen dengan rangkaian media dan hiburan terbaharu di bawah jenama
SUKE TV, Datuk Mizal Zaini atau AC Mizal, bagaikan membuka satu lembaran
pilihan terbaharu buat penonton dan masyarakat negara ini.
Tiga
bulan menjalankan operasi sepenuhnya, SUKE TV, boleh dikatakan sebagai satu
produk kebanggaan buat selebriti serba boleh tanah air ini memandangkan semua
orang tahu, bukan mudah untuk menubuhkan sebuah stesen televisyen bermula daripada
bawah.
Malah,
stesen televisyen yang ada di Malaysia ini juga seakan sudah melalui satu fasa
mencabar apabila berdepan dengan kebangkitan zaman media sosial dan platform
OTT (Over The Top) atau penstriman di Internet yang kini semakin menjadi
pilihan penonton.
Siapa
sangka, impian besar ini berjaya direalisasikan oleh AC meski sebelum ini dia
juga banyak menerima sindiran dan diperlekeh oleh banyak pihak termasuk
rakan-rakan sendiri.
“Memang
keadaan itu berlaku. Marah itu ada, tapi itu menjadikan saya lebih bersemangat
sebenarnya. Sebelum saya mula SUKE TV ini, ketika itu, ia merupakan percubaan
kali terakhir saya. Saya dah nak pulangkan lesen dah.
“Lesen
itu sudah ada sebelum saya mula lagi dan kena bayar setiap tahun kepada
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Terus-terang,
ketika itu, saya dah tahap berserah betul-betul kepada Tuhan. Ingat lagi, Jun
tahun lepas, saya dah betul-betul putus asa.
“Bila
tak beroperasi, MCMC akan tarik balik lesen. Tetapi ternyata Allah itu Maha
Mendengar akan rintihan-rintihan hamba-Nya, patut pulangkan lesen pada Jun,
tetapi Allah gerakkan misi dan visi saya ini bermula April lalu,” katanya.
MALU,
SAKIT HATI
Kata
AC, dia juga pernah dibelenggu dengan perasaan malu dan sakit hati kerana orang
di sekeliling memandang rendah usahanya itu namun bersyukur kerana isterinya,
Datin Emylia Rosnaida sentiasa meletakkan kepercayaan kepada dirinya.
“Kami
berdua ini nasib baiknya memang selalu berfikiran positif. Kita tetap nak
buat.Nampaknya Tuhan tetap nak bagi rezeki menerusi SUKE TV ini sebab banyak
dah bisnes lain yang dijalankan sebelum ini,Allah tetap bukakan jalan yang ini.
“Memang
kami tawakal saja pada Allah dan akhirnya di hujung-hujung perasaan dah nak
putus asa itu, Dia realisasikan hasrat kami ini. Saya pun pasang niat nak bantu
orang, nak beri peluang pekerjaan kepada ramai orang.
“Mungkin
kerana itulah, Dia kurniakan peluang ini kepada saya dan isteri. Bayangkan,
kamilah artis pertama yang membuka stesen televisyen dalam negara ini, siapa
sangka?”katanya.
Selain
itu, ditanya sama ada, dia sebenarnya merealisasikan stesen tv ini kerana
pernah mengalami episod-episod kekecewaan sepanjang melewati tempoh 31 tahun
bekerja untuk pelbagai platform stesen tv lain, ini jawab AC.
“Ya
betul. Tapi nanti orang ingat sebab kecewa, esok terus buka stesen tv sendiri.
Eh, macam kaya sangat saya ini. Tak, saya buka SUKE TV ini pun prosesnya lima
tahun. Tapi sebab modalnya besar, baru kini kita dapat bantuan pinjaman
kewangan daripada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV).
“Bila
mereka sudi beri pinjaman, bermakna idealogi dan visi saya ini boleh diterima
sebab MDV sangat teliti dalam menilai.Kekecewaan itu sudah pasti pada asalnya.
Saya ini fikirkan apa nasib rakan artis yang dah berumur tapi dibayar RM50
sehari, contohlah.
“Di
sini saya beri peluang pekerjaan. Kalau tak ada job depan kamera, boleh buat
benda lain, terlibat di belakang tabir. Jadi dapatlah kita lihat yang industri
ini berkembang, bukan asyik timbul kisah artis susah, industri susah. Sampai
orang nak sertai industri pun takut,”katanya.
LEBIH
POPULAR?
Dalam
pada itu, AC juga menafikan bahawa wujudnya hasrat untuk menjadi semakin
popular apabila telah memiliki stesen televisyen sendiri kini.
Menganggap
hal itu cuma canda kosong, kata AC, dia sudah lama mahu berundur diri sebagai
selebriti di depan kamera memandangkan dia juga sedar,pada usia begini, dia
sepatutnya berada di tahap yang berbeza.
“Bukan
pasal nak popular, tidak! Saya memang dah lama nak beri laluan pada orang lain
untuk ke depan. Saya dah berjanji nak jadi ahli korporat, ahli perniagaan,
pengerusi dan nak kembangkan bisnes.
“Idea
dan visi saya lebih banyak ke situ.Sekarang pun dah usia 51 tahun, penat dah
nak jerit-jerit Peace Yo! Kena beralih arah,”katanya dalam ketawa.
KONSEP
TERBUKA
Sebagai
tambahan, AC memaklumkan, SUKE TV mengamalkan konsep terbuka dan idea yang
segar dalam penghasilan rancangannya sesuai dengan citarasa dan keperluan
khusus penonton Malaysia.
Ia
menyiarkan pelbagai program termasuk program beli belah tempatan yang
menampilkan selebriti, pempengaruh dan usahawan tempatan di mana penonton boleh
membeli-belah secara langsung sambil menonton TV, 24 jam sehari di myFreeview,
rangkaian penyiaran digital tanpa langganan untuk TV yang pertama di Malaysia.
Antara
program yang disiarkan ialah SUKECele. Program perdana SUKE TV yang menampilkan
selebriti menjual produk mereka kepada penonton.
Melalui
inisiatif-inisiatif seperti ini, SUKE TV berhasrat memerkasa pangkalan
pelanggan untuk PKS tempatan di seluruh negara melalui saluran TV percuma
sambil mencipta aliran pendapatan baharu untuk penghibur tempatan yang terjejas
oleh pandemik.
Sumber:
utusan