Persatuan
Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) menjangkakan sehingga 32,000
peminjam lagi akan bankrap dalam tempoh dua tahun akan datang jika kadar dasar
semalaman (OPR) terus dinaikkan.
Presiden
4PM Rosland Mohd Ariff berkata jumlah peminjam muflis yang direkodkan sehingga
kini sudah lebih daripada 46,000 setelah tidak mampu membayar pinjaman
disebabkan pandemik Covid-19 dan kini diburukkan dengan peningkatan kos sara
hidup.
“Sebanyak
32,000 lagi peminjam dijangka muflis dalam tempoh dua tahun akan datang jika
OPR terus dinaikkan iaitu pertambahan 70 peratus daripada jumlah peminjam
muflis sedia ada.
“Jika
OPR terus dinaikkan rakyat akan terus ‘ditekan’ untuk menambah bayaran ansurans
pinjaman menyebabkan mereka yang seawal usia 25 tahun akan lebih ramai
diisytihar muflis.
“Dari
awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, lebih 46,000 rakyat sudah
muflis disebabkan tidak mampu membayar pinjaman bank.
“Kini
dengan kenaikan OPR dan kos sara hidup terus menekan rakyat,’’ katanya menurut
laporan Utusan hari ini.
Menurut
Rosland, rata-rata mereka yang muflis adalah individu yang membuat pinjaman
kereta, peribadi, perumahan dan turut membabitkan ramai penjawat awam.
“Pendedahan
mengenai masalah mental disebabkan tiada duit sehingga ada yang bunuh diri
kerana tidak tahu untuk meneruskan hidup cukup menampakkan rakyat belum
bersedia dengan peningkatan kadar faedah hutang.
“Situasi
yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seharusnya melalui perbincangan
dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang paling hampir dengan rakyat. Saya
membantah kenaikan OPR yang seprti dibuat sesuka hati ini,” katanya.
Pada
6 Julai lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata
asas kepada 2.25 peratus.
Pada
11 Mei lalu, bank pusat itu juga mengambil langkah sama menaikkan OPR kepada 2
pratus daripada 1.75 peratus. Susulan itu, kadar siling dan lantai bagi koridor
OPR masing-masing meningkat kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.
Menurut
BNM, pembukaan semula ekonomi global dan pasaran pekerja yang bertambah baik
terus menyokong pemulihan ekonomi, namun, faktor itu diimbangi oleh kesan
tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan, dan keadaan
pembendungan di China.
Sementara
itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman
Abdul Latiff berkata, di sebalik kesan buruk kenaikan OPR kepada rakyat,
tindakan BNM itu memberi kelebihan kepada bank-bank konvensional yang diramal
bakal meraih keuntungan sekitar RM30 billion tahun ini.
“Pada
2019, keuntungan sembilan bank konvensional yang tersenarai di bursa saham RM35
billion, namun, pada tahun 2020 keuntungan menurun kepada RM26 billion.
“Dengan
kenaikan OPR yang diramal terus naik lagi pada September nanti, sembilan bank
konvensional tersebut dijangka boleh mencatat kenaikan keuntungan mencecah RM30
billion,” katanya.
Sehubungan
itu, Razman berkata, rakyat kini bergantung harap kepada perbankan Islam
mengambil inisiatif mengekalkan kadar faedah kepada peminjam.
“Walaupun
OPR dinaikkan, bank konvensional akan naik selaras dengan OPR yang diumumkan
tetapi kami harap perbankan Islam akan membantu peminjam dari segi syariah
iaitu bantu orang Islam itu sendiri.
“Bank
masih mencatat keuntungan meskipun berada dalam pandemik, jadi tiada masalah
jika perbankan Islam tidak menaikkan kadar faedah itu,” katanya.
Sumber:
agenda daily