Zii Jia Tidak Minat ‘Layan Mulut’ Dengan Chong Wei, James
KUALA LUMPUR: Dihentam pelbagai pihak kerana tindakannya
menarik diri daripada Sukan Komanwel 2022, Lee Zii Jia menegaskan, dia enggan
‘berperang mulut’ sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan kepada permainan.
Pemain No. 5 dunia itu juga menegaskan, kritikan diterima
tidak memberi kesan dalam persiapan menghadapi Terbuka Malaysia yang membuka
tirai di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.
“Saya tak berminat nak masuk campur dan takkan lawan balik
(komen).
“Fokus saya hanya kepada permainan,” kata juara Asia itu
sejurus menamatkan sesi latihan semalam.
JAMES SELVARAJ
Minggu lalu, Zii Jia membuat kejutan apabila mengumumkan
enggan beraksi pada Sukan Komanwel yang berlangsung di Birmingham dari 28 Julai
hingga 8 Ogos ini.
Tindakannya tidak disenangi beberapa pihak, apatah lagi
pemain kelahiran Kedah itu dianggap prospek untuk mempertahankan pingat emas
perseorangan lelaki yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei di Gold Cost 2018.
Bekas pemain badminton negara, Datuk James Selvaraj
mempersoalkan semangat kenegaraan Zii Jia yang memutuskan untuk tidak menyertai
Sukan Komanwel bagi memberi fokus kepada Kejohanan Dunia yang berlangsung dua
minggu selepas temasya berakhir.
Bekas pemain No. 1 dunia, Chong Wei pula berkata, beliau
akan meletakkan Malaysia sebagai keutamaan dan tidak akan menolak untuk
bertanding pada Sukan Komanwel yang hanya diadakan empat tahun sekali
berbanding Kejohanan Dunia berlangsung setiap tahun.
LEE Chong Wei ketika menghadiahkan pingat emas buat Malaysia
pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sesi latihan pertama
di Axiata Arena semalam, Zii Jia berkata, setelah dua tahun tiada pertandingan
di stadium berkenaan, Terbuka Malaysia mengujakan peminat serta pemain
badminton negara.
“Semasa latihan tadi, terdapat angin seperti yang didakwa
pemain-pemain lain. Memang agak mencabar tapi masalah itu bukan perkara baharu
di Axiata,” ujarnya.
Jelas Zii Jia lagi, dia kini bersedia untuk mengharungi
Terbuka Malaysia dan berharap dapat melakukan sesuatu di depan penyokong
sendiri.
Sumber: Utusan
0 Response to "Zii Jia Tidak Minat ‘Layan Mulut’ Dengan Chong Wei, James"