'Zii Jia Lawan Paling Sukar' - Axelsen
SEPANJANG perjalanan menjadi juara dunia dan Olimpik,
pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen memilih jaguh perseorangan profesional
negara, Lee Zii Jia sebagai lawan paling sukar sejak kebelakangan ini.
Bintang Denmark itu mendedahkan perkara tersebut selepas
terpaksa bertarung berhabis-habisan selama 70 minit sebelum menyingkirkan Zii
Jia 19-21, 21-11, 23-21 pada saingan separuh akhir Terbuka Indonesia di Stadium
Istora Senayan, Jakarta, Sabtu lalu.
Pemain berusia 28 tahun itu mempertahankan kejuaraan Terbuka
Indonesia dengan selesa selepas menundukkan pemain China, Zhao Jun Peng, 21-9,
21-10, dalam tempoh 38 minit. Sebelum itu, Axelsen menjuarai Masters Indonesia
2022 dari 7 hingga 12 Jun lalu.
Memburu gelaran sulung Terbuka Malaysia 2022 minggu
depan dan gelaran kedua Masters Malaysia selepas 2018, bulan depan, pemain itu
menyifatkan Zii Jia sebagai berkebolehan membuktikan kemampuan beraksi pada
tahap terbaik.
"Zii Jia merupakan lawan yang memberi cabaran
paling getir di Indonesia. Semua orang tahu wakil Malaysia itu seorang pemain
yang hebat. Dia juga seorang insan yang hebat di luar gelanggang...jadi seronok
mempunyai ramai pemain handalan.
"Memang bagus mempunyai ramai pemain perseorangan
yang kompetitif tetapi sudah pasti Zii Jia adalah pemain lawan yang hebat,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di
Bukit Kiara di sini pada Selasa.
Terbuka Malaysia akan berlangsung di Arena Axiata Bukit
Jalil di sini dari 28 Jun hingga 3 Julai manakala Masters Malaysia di venue
sama mulai 5 hingga 10 Julai ini.
Juara dunia 2017 itu juga berkata beliau bersikap
terbuka untuk berlatih dengan mana-mana pemain termasuk Zii Jia menjelang dua
kejohanan di sini.
"Saya bercakap dengan Lakshya Sen dari India
tentang berlatih bersama di sini kerana kami sangat mengenali antara satu sama
lain.
Kemudian saya minta (pengarah kejurulatihan
perseorangan Persatuan Badminton Malaysia) Wong Choong Hann jika saya boleh
berlatih di sini, dia berkata kehadiran saya di sini amat dialu-alukan...jadi
saya sangat bersyukur berada di sin,” katanya.
Axelsen menambah pada masa ini beliau memberi tumpuan
kepada pemulihan fizikal dan mental daripada dua kejohanan di Indonesia sebelum
bersedia sepenuhnya menjelang Terbuka dan Masters Malaysia.
Sumber: Bernama
0 Response to "'Zii Jia Lawan Paling Sukar' - Axelsen"