'Tiada Siapa Boleh Bentuk Kerajaan Tanpa Sabah, Sarawak'
KOTA KINABALU - Parti Warisan mendakwa tiada siapa yang
boleh membentuk kerajaan tanpa Sabah dan Sarawak.
Naib Presidennya, Datuk Junz Wong berkata, perkara itu
adalah kenyataan susulan senario politik ketika ini.
Oleh demikian menurutnya, rakyat Sabah harus
bekerjasama dengan Sarawak bagi menuntut hak kedua-dua negeri terbabit.
"Sebab itu penting rakyat Sabah sedar akan peluang
ini untuk bersatu dan bekerjasama dengan Sarawak untuk menuntut hak-hak kita
bagi membentuk kerajaan akan datang.
"Mereka tidak boleh kawal sebab tanpa Sabah dan
Sarawak mereka tidak boleh membentuk kerajaan.
"Kita kena ambil peluang ini untuk menjadi
sebahagian daripada kerajaan untuk mengawal dan mengubah struktur serta budaya
politik negara," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan
Kolombong di sini pada Rabu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Tanjung Aru turut berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan wujud di
Sabah kerana bakal ada gabungan baharu.
"Tiada lagi BN pada pilihan raya akan datang,
Sabah Sarawak tidak akan sertai BN. Kita juga tidak akan sertai BN, BN tidak
akan jadi kerajaan baharu kerana akan ada gabungan baharu.
"Gabungan baharu akan ada struktur dan budaya
baharu. Kita kena fokus kepada agenda rakyat dan tidak boleh lagi cakap soal
politik kerana rakyat sudah bosan dengan politik.
"Ini pandangan saya dan kita kena stabilkan
kerajaan. Kita akan stabil tetapi kita kena berhenti bercakap soal politik dan
fokus kepada isu rakyat," tegasnya.
Sehubungan itu, Junz berkata, pada pilihan raya akan
datang Warisan perlu fokus kepada isu rakyat dan setiap pemimpin yang
bertanggungjawab perlu memastikan politik di negara ini stabil.
Sumber: Sinarharian
0 Response to "'Tiada Siapa Boleh Bentuk Kerajaan Tanpa Sabah, Sarawak'"