'Terpulang kepada Zamani, duit itu memang untuk dia' - Aznil Nawawi
Kuala Lumpur: "Saya tak ada fikir apa selain nak
bantu dia (Zamani) secepat mungkin."
Itu kata pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi ketika
ditanya mengenai wang kutipan yang diusahakannya untuk membiayai kos rawatan
penyanyi, Zamani yang sudah melebihi RM100,000.
Aznil, 59, jelas tidak mahu Zamani terus memaksa diri
membuat persembahan bagi mencari wang dengan keadaan fizikalnya yang dilihat
semakin membimbangkan ketika ini.
"Kalau dia nak cari duit daripada 'show' yang dia
buat berapa lama baru nak dapat duit untuk tampung kos rawatan itu. Memanglah
boleh dapat duit daripada 'show' itu tapi berapa banyak nak kena buat.
"Ditambah pula dia tengah sakit sekarang, jadi
sebab itu saya kena tolong dia. Itu adalah rezeki Zamani, walaupun saya kata
dah tutup akaun pada jam 12 malam semalam, tapi agaknya ramai yang ambil
kesempatan untuk cari pahala dan membantu penyanyi kesayangan mereka,"
katanya kepada Harian Metro.
Menurut Aznil, dia sama sekali tidak akan memaksa atau
memberi sebarang tekanan kepada Zamani yang juga penyanyi kumpulan Slam dalam
soal pengurusan wang itu.
"Dengan wang sebanyak ini saya rasa dia boleh
pergi berjumpa pakar dah. Saya pun ada beritahu dia kalau tak sanggup untuk
buat pembedahan anggaplah duit ini rezeki awak untuk kelangsungan hidup.
"Tapi kalau nak buat pembedahan pun boleh sebab
duit dah ada. Jadi saya serahkan bulat-bulat kepada Zamani dan tak ada paksaan
apa-apa. Kalau nak buat pembedahan atau tidak itu terpulang kepada dia tapi
duit ini memang untuk dia," katanya.
Ditanya bilakah wang itu akan diserahkan kepada Zamani,
Aznil berkata, dia masih menunggu respon daripada penyanyi itu dan akan
mengaturkan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa perkara
lain juga.
"Saya tengah tunggu maklumbalas daripada Zamani.
Kalau minggu ini saya agak sibuk jadi kalau nak jumpa mungkin minggu depan
untuk saya serahkan duit itu kepada dia.
"Kalau ikutkan sekarang ini boleh buat pemindahan
dalam talian saja. Tapi mungkin saya akan jumpa dia juga untuk berbincang
beberapa perkara lagi," katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Aznil berjaya
mengumpul dana melebihi RM100,000 dalam tempoh lebih 24 jam hasil sumbangan
orang ramai dan wang itu akan digunakan untuk membiayai kos pembedahan tulang
belakang penyanyi Zamani yang menderita penyakit tulang belakang atau
skoliosis.
Sumber: hmetro
0 Response to "'Terpulang kepada Zamani, duit itu memang untuk dia' - Aznil Nawawi"