Tarikh Akhir Pengecualian Cukai Jualan Kenderaan Kekal Tamat 30 Jun
KUALA LUMPUR - Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan
penumpang kekal pada 30 Jun 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri
Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, namun, bagi membolehkan pembeli yang membuat
tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022 terus menikmati insentif pengecualian
cukai itu maka tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac, 2023.
“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu
penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai
negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik bagi memastikan kebajikan
rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” katanya dalam
kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan telah memperkenalkan pengecualian sepenuhnya
cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV)
dan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan serta 50 peratus
pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang import (CBU) sejak 15
Jun, 2020 dan akan berakhir pada 30 Jun, 2022.
"Ia bertujuan mengekalkan dan meningkatkan momentum permintaan
dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik Covid-19,"
katanya.
Tengku Zafrul berkata, setakat ini sebanyak 868,422 unit kenderaan
telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan
berjumlah RM4.7 bilion.
Beliau berkata, dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif
telah kembali beroperasi seperti sedia kala.
“Bagaimanapun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat
dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.
“Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah
kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas
beberapa industri termasuk industri automotif,” katanya.
Belau berkata susulan itu, pemasangan sebanyak 264,000 unit
kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan ini masih belum
siap dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli. - Bernama
Sumber: sinarharian
0 Response to "Tarikh Akhir Pengecualian Cukai Jualan Kenderaan Kekal Tamat 30 Jun"