Tampin: Dua individu yang ditahan polis selepas sanggup
melarikan diri dengan meninggalkan mayat seorang kanak-kanak lelaki selepas
terbabit kemalangan disahkan bukan pasangan suami isteri.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab,
berkata hasil siasatan lanjut dijalankan oleh pihaknya, mendapati status
hubungan kedua-dua suspek masing-masing berusia 30-an dan 20-an itu bukan suami
isteri seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Katanya, kedua-duanya mereka dikenakan reman dengan suspek
lelaki mempunyai rekod jenayah lampau termasuk 14 kesalahan narkotik manakala
suspek wanita pula mempunyai satu rekod kesalahan narkotik.
"Suspek lelaki direman selama empat hari bermula Isnin
lalu di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985 hingga esok,
manakala bagi kesalahan mencuri kenderaan pula, reman akan dimohon esok.
"Wanita yang juga ibu mangsa hanya dikenakan reman
selama sehari bagi membantu siasatan. Kedua-duanya positif dadah dalam ujian
air kencing yang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang
tadi.
Terdahulu, media melaporkan kedua-dua suspek meninggalkan
mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun selepas mereka terbabit
dalam kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas, dekat sini, malam
kelmarin.
Difahamkan mereka melarikan diri dari lokasi kejadian
menggunakan sebuah kereta pacuan empat roda milik pengguna jalan raya lain yang
ingin membantu mereka.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.30 malam itu apabila
mereka dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor, dekat sini.
Jenazah kanak-kanak terbabit suda dituntut oleh bapa kandung
dari Hospital Tampin dan selamat dikebumikan semalam.
Sumber: hmetro