Subsidi Minyak Masak Tulen Botol 2kg, 3kg & 5kg Dimansuhkan
Putrajaya: Subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima
kilogram (kg) dimansuhkan bermula 1 Julai ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri
Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan
bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang
dan seterusnya menstabilkan harga barangan.
Beliau berkata, bagaimanapun subsidi bagi minyak masak paket satu
kilogram masih diteruskan.
"Sebenarnya, program subsidi minyak masak tulen untuk botol
ini hanyalah sementara, ketika pelaksanaan pada 2021 itu kita buat dalam tempoh
tiga bulan sahaja iaitu Ogos, September dan Oktober.
"Bagaimanapun, ketika itu kerajaan berpendapat kita patut lanjutkan
dan disebabkan itu ia dilaksanakan sehingga kini. Kini kerajaan merasakan
tibalah masa untuk dimansuhkan supaya boleh memberi fokus bagaimana untuk
membantu golongan yang memerlukan.
"Kerajaan boleh memberikan bantuan yang lebih bersasar;
bagaimanapun, segala bentuk bantuan ini akan diperincikan oleh Kementerian
Kewangan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog
bersama pihak industri mengenai isu harga dan bekalan di kementeriannya, hari
ini.
Mengulas lanjut mengenai sesi dialog itu, Alexander berkata, ia
dianjurkan bagi memberi penerangan kepada pemain industri dan persatuan
pengguna terhadap inflasi yang berlaku di negara ini.
Melalui sesi dialog berkenaan, terdapat pandangan dan cadangan yang
diberikan antaranya untuk memperkasakan kesedaran pengguna dan mengubah cara
hidup dalam menghadapi kenaikan harga.
Beliau berkata, turut diajukan adalah isu kekurangan pekerja dalam
sektor perdagangan pengedaran yang semakin kritikal dan kos operasi.
Sumber: HarianMetro
0 Response to "Subsidi Minyak Masak Tulen Botol 2kg, 3kg & 5kg Dimansuhkan"