SPM 2021: Kuala Penyu Ungguli Tangga Teratas GPD Di Sabah
KUALA PENYU: Meskipun bertaraf luar bandar, Kuala Penyu buat julung
kalinya mengungguli tangga teratas pencapaian Gred Purata Daerah (GPD) bagi
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Mencatatkan GPD 4.87, Kuala Penyu mengatasi pencapaian
sekolah-sekolah di bandar seperti Penampang (4.93) dan Kota Kinabalu (4.93)
serta Tawau (5.11) yang masing-masing berada di tangga kedua, ketiga dan
keempat berbanding 24 daerah seluruh Sabah.
Bagi Pegawai Pendidikan Daerah, Suntik Tuin pencapaian itu
disumbangkan oleh kejayaan para pelajar cemerlang, ibu bapa serta guru di
samping peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury
menerusi Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ).
“Kejayaan ini adalah sumbangan besar guru-guru dan ibu bapa
terhadap pencapaian cemerlang para pelajar SPM 2021 dan juga sumbangan besar
YPLJ yang menyediakan komputer riba kepada pelajar semasa pembelajaran PDPR
sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Mereka inilah sebenarnya menjadi adiwira kepada pencapaian terbaik
14 orang pelajar cemerlang pada SPM tahun lepas.
“Malah, saya juga selalu berpesan kepada para pelajar supaya mereka
hanya perlu fokus untuk belajar.
“Jangan fikir soal perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran kerana
kita ada dana YPLJ yang sering dicemburui di PPD lain, alangkah bertuahnya
warga Kuala Penyu ini,” ujar beliau yang berharap sumbangan YPLJ dimanfaatkan
sepenuhnya oleh para pelajar.
Senada dengan pendapat itu, pesara, Misol Anggang, 57, dari Kg
Janang mendedahkan keprihatinan Limus melalui YPLJ banyak menyumbang kepada
pembangunan pendidikan khususnya anak-anak tempatan.
“Saya sangat bersyukur dan terima kasih banyak kepada YB Datuk
Limus Jury kerana telah memberi sumbangan set komputer riba dan cek RM2,000
untuk tiket penerbangan kepada anak saya,” katanya ketika menemani anak sulung,
Brenda Misol, 21, mahasiswa tahun kedua kursus komunikasi yang akan bertolak ke
Universiti Pendidikan Sultan Idris Perak, Oktober depan.
Yayasan berkenaan yang diilhamkan oleh Limus sendiri ditubuhkan
pada tahun 2013 dan sehingga kini telah membantu lebih 3,000 pelajar dalam
bentuk set komputer riba serta bantuan one-off RM1,500 hingga RM2,500 untuk
tiket penerbangan ke Semenanjung Malaysia dan perbelanjaan di Institusi
Pengajian Tinggi (IPT).
Pada Sabtu, Limus menyempurnakan penyerahan dana kepada 50 pelajar
yang melanjutkan pelajaran, set komputer riba kepada 100 pelajar, selain
penyampaian dana RM30,000 untuk Tabung PIBG Sekolah kepada Suntik dan dana
RM20,000 untuk Majlis Guru Besar kepada Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah,
Nordin Tuin diiringi Pegawai Daerah, Sebastian Ingkim di Dewan Shahbandar
Makang.
Sumber: wartaoriental
0 Response to "SPM 2021: Kuala Penyu Ungguli Tangga Teratas GPD Di Sabah"