Sarawak Raih RM1 Bilion
SIBU: Hasil pelancongan di Sarawak dijangka mencecah
RM1 bilion berikutan ketibaan 420,150 pelawat lima bulan pertama tahun ini,
peningkatan lebih daripada 600 peratus, berbanding 56,278 pelawat bagi tempoh
sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni
Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata terdapat
peningkatan 738 peratus atau 395,742 ketibaan domestik dari Semenanjung dan
Sabah, berbanding 47,170 bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata, Sarawak menerima ketibaan 43,404
pelancong asing, iaitu peningkatan 376 peratus berbanding 9,108 pada tempoh
sama 2021.
"Dari segi perbelanjaan pelancong, kami
mencatatkan RM120 juta tahun lepas. Tahun ini dijangka akan meningkat ke RM1
bilion," katanya ketika sidang media Festival Muzik 'Tribal Borneo' di
sini.
Mengenai festival muzik yang diadakan buat pertama
kalinya itu, Abdul Karim berharap ia akan menjadi satu acara pengenalan buat
Sibu, selain daripada Festival Kebudayaan Borneo, Festival Tarian Antarabangsa
Sibu dan BASE Jump Antarabangsa Sibu.
Beliau berkata, festival muzik seperti itu akan
mengambil masa untuk menjadi popular, kerana sebaik ia diperkenal kepada dunia,
ia akan manarik pengunjung yang ramai, bergantung kepada cara dianjurkan.
Memberikan sokongan kementeriannya terhadap festival
itu, beliau percaya, pesta itu mampu menjadi popular sama seperti Festival
Muzik Hutan Hujan Dunia di Kuching dan Festival Jazz Borneo di Miri.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur acara
itu, La Vie Event and Management yang mengambil langkah ke depan untuk
menganjurkan program itu dalam usaha memastikan lebih banyak acara berlangsung
di Sarawak.
Festival Muzik 'Tribal Borneo' yang akan memaparkan
muzik dalam persepsi etnik dan kotemporari akan berlangsung pada 23 dan 24
September di Esplanade Rajang dengan 10 persembahan oleh artis tempatan,
Indonesia dan Vietnam.
Sumber: BERNAMA
0 Response to "Sarawak Raih RM1 Bilion"