RUU Pesara Dan Bekas Polis Akan Dibentang Hujung Tahun Ini
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pesara dan Bekas Polis
dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu
jawatankuasa khas telah dilantik pada 12 April lalu untuk menyediakan draf RUU
tersebut.
"Draf RUU itu akan diteliti sebelum diserahkan kepada Menteri
Dalam Negeri dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada
pengunjung tahun ini.
"Kita sedia maklum berhubung status RUU tersebut yang perlu
dilaksanakan segera, sesi libat urus bersama gabungan Persatuan Pesara dan
Bekas Polis telah diadakan," katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat
Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa)
ke-38 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin dan
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass.
Dalam perkembangan berasingan, Razarudin memaklumkan, seramai 2,222
orang terdiri daripada pesara, bekas polis, petugas era darurat dalam proses
menerima bayaran Tabung Amanah Warisan Polis.
"Ia melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM3.7 juta. PDRM
sentiasa memperjuangkan hal kebajikan dan memastikan segala bentuk bantuan
dapat disalurkan kepada mereka yang layak menerima," ujarnya.
Sementara itu, Meor Chek Hussien berkata, RUU Pesara dan Bekas
Polis itu wajar diberi keutamaan bagi tujuan tadbir urus dan kawal selia.
Sumber: Sinarharian
0 Response to "RUU Pesara Dan Bekas Polis Akan Dibentang Hujung Tahun Ini"