RM37,361 Simpanan Peribadi, KWSP Lesap Diperdaya Sindiket Kerja Online
PADANG BESAR – Seorang pembantu kesihatan kerugian wang
simpanan peribadi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM37,361
setelah ditipu sindiket pekerjaan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd.
Shokri Abdullah berkata, wanita berusia 26 tahun itu pada mulanya tertarik
melihat iklan pekerjaan di Facebook.
Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran kerja
menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat kemudiannya menghubungi individu
dikenali dengan nama Agnes mendakwa dari syarikat SP eCommerce.
“Mangsa diberi penerangan untuk membeli pelbagai produk bagi
tujuan menaikkan ‘rating’ dan akan mendapat imbuhan setelah barang tersebut
dijual oleh mereka.
“Wanita tersebut kemudiannya melakukan sebanyak lapan
transaksi ke empat akaun bank Agnes seperti diarahkan suspek,” katanya di sini
hari ini.
Tambah Mohd. Shokri, selepas tiga hari melakukan transaksi,
mangsa mengesyaki bahawa dirinya diperdaya selepas tidak mendapat apa yang
dijanjikan suspek sebelum bertindak membuat laporan polis petang semalam.
Sumber: KOSMO! ONLINE
0 Response to "RM37,361 Simpanan Peribadi, KWSP Lesap Diperdaya Sindiket Kerja Online"