Potong Gaji Menteri Tidak Membantu Tangani Kos Sara Hidup
PADANG TERAP: Saranan bekas Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz agar gaji menteri dipotong
sebanyak 20 peratus tidak akan membantu menyelesaikan kos sara hidup rakyat,
sebaliknya ia memerlukan alternatif lain yang lebih berkesan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir
Khalid, berkata ini kerana kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu rakyat
dalam menghadapi krisis peningkatan harga barang sejak akhir-akhir ini.
"Sekarang ada pelbagai usaha yang dibuat oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan dalam Kabinet,
khususnya bagi menteri-menteri yang terbabit secara langsung dengan ekonomi dan
harga barang seperti kementerian kewangan, ekonomi, perdagangan, pertanian dan
kerja raya.
"Mereka akan duduk mesyuarat seminggu dua kali
bagi membincangkan hal berbangkit dan memberi jalan penyelesaian seperti
diumumkan Perdana Menteri mengenai tiada kenaikan tarif elektrik dan harga
pasaran ayam tidak akan diapungkan.
"Sehingga kini pun kerajaan masih memberi subsidi
petrol RON95 kepada rakyat dengan harga RM2.05 seliter. Ini antara langkah dan
keputusan yang diambil kerajaan agar tidak membebankan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas
merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK)
Tualak di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, Rafidah mencadangkan
pemotongan gaji menteri bagi menunjukkan empati terhadap negara ketika rakyat
bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19 dan krisis Russia-Ukraine.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, sebagai bekas
menteri, Rafidah perlu memberikan idea yang lebih baik dan berjumpa dengan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengetengahkan idea
beliau.
"Kita tidak tahu apa maksud sebenar Rafidah
mengenai potong gaji itu, adakah beliau benar-benar maksudkan atau hanya perli,
beliau orang lama sepatutnya boleh beri idea yang lebih baik.
"Perkataan potong gaji ini seolah-olah berada
dalam Dewan Rakyat, ia selalu diusulkan oleh pembangkang. Bagi saya, cadangan
beliau bukan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup
yang semakin meningkat," katanya.
Sementara itu, Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO
ketika ditanya mengenai Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul
Rahman yang digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, beliau
enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Sumber: bharian
0 Response to "Potong Gaji Menteri Tidak Membantu Tangani Kos Sara Hidup"