KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd dijangka mencatatkan kerugian
bersih lebih besar RM99 juta bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM89 juta
sebelumnya, demikian menurut AmInvestment Bank.
Bank pelaburan itu berkata, berdasarkan mesyuarat penyedia
perkhidmatan pos dan bungkusan itu baru-baru ini, Pos Malaysia dijangka
merekodkan kerugian bersih RM10 juta bagi tahun kewangan 2023, terutama
disebabkan oleh jumlah mel dan bungkusan lebih rendah.
"Bagaimanapun, kami mengunjurkan syarikat akan kembali
mencatatkan keuntungan pada tahun kewangan 2024 dengan keuntungan bersih RM48
juta didorong margin keuntungan lebih baik susulan pelaksanaan pelbagai
inisiatif penjimatan kos seperti pengurangan tenaga kerja serta penggabungan
rangkaian mel dan bungkusan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Pendapatan pengeposan Pos Malaysia susut 15 peratus pada
suku pertama tahun kewangan 2022 sejajar dengan penurunan jumlah bungkusan,
didorong oleh tiga faktor.
Antara lain, ia berpunca trend pembelian pengguna beralih
daripada transaksi dalam talian kepada beli belah secara fizikal di
tengah-tengah kelonggaran sekatan pergerakan.
Selain itu, peserta e-dagang utama memanfaatkan keupayaan
penghantaran dalaman dan satu lagi faktor adalah peserta antarabangsa
meneruskan strategi penembusan untuk meraih penguasaan pasaran lebih besar.
AmInvestment Bank berkata, walaupun meraih pendapatan lebih
rendah, segmen penghantaran merekodkan kerugian sebelum cukai lebih kecil
sebanyak RM36 juta, peningkatan 24 peratus berbanding suku sama tahun lalu.
Pencapaian itu, katanya adalah disebabkan kos pengangkutan
dan penghantaran yang lebih rendah selain jumlah kakitangan berkurangan susulan
pelaksanaan skim pemisahan bersama (MSS).
"Menuju ke hadapan, kami menjangkakan prospek
perniagaan penghantaran bungkusan syarikat akan kekal mencabar kerana ia tidak
dapat memanfaatkan sepenuhnya jumlah transaksi e-dagang yang berkembang di
tengah-tengah jumlah bungkusan lebih rendah daripada peserta e-dagang utama.
"Kami juga difahamkan bahawa operasi mel terus
mencatatkan penurunan secara berperingkat sejajar dengan trend global ke arah
dalam talian dan komunikasi maya.
"Bagaimanapun, segmen logistik dan penerbangan dijangka
mencatatkan pemulihan memberangsangkan disokong oleh normalisasi operasi di
tengah-tengah pembukaan semula sempadan antarabangsa," katanya.
Sumber: bharian