Musykil Pembiayaan LPPSA Lebih Mahal
LEMBAGA Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) ialah
badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan
kakitangan kerajaan.
Ia ditubuhkan pada 2016 bagi mengambil alih peranan
Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan.
Dikatakan LPPSA meluluskan hampir 40,000 permohonan
setahun bernilai kira-kira RM10 bilion dengan kadar penolakan yang rendah.
Margin pinjaman diberikan adalah sehingga 100 peratus dengan kadar faedah empat
peratus.
Kelebihan pinjaman di bawah LPPSA adalah penilaian
semakan kelayakan hanya dibuat berdasarkan apa yang tercatat dalam penyata gaji
tanpa mengambil kira sebarang komitmen luar seperti pinjaman bank.
Biarpun nama disenarai hitam dalam Sistem Maklumat
Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn. Bhd., kakitangan
kerajaan masih lagi layak membuat pinjaman menerusi LPPSA.
LPPSA ketika ini menetapkan peminjam perlu membuat
bayaran semula pinjaman selepas 24 bulan dari tarikh kelulusan pinjaman.
Cuma yang menjadi kemusykilan saya, apakah yang telah
dilakukan oleh LPPSA untuk mengurangkan tekanan dihadapi oleh kakitangan
kenaikan akibat kenaikan harga barangan?
Janji-janji gaji lebih baik oleh bekas Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam
(MAPPA) 2018 tidak ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas itu
dengan alasan semua pihak perlu mengikat perut kerana hutang negara.
Antara janji-janji Najib itu adalah kenaikan gaji
bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat
awam berkuat kuasa 1 Julai 2018 dan kenaikan pangkat time-based kali kedua
dikurangkan dari 13 kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018.
TERJEJAS
Sikap tidak empati LPPSA dapat dilihat apabila tidak
memberikan moratorium pembayaran balik ansuran bulanan ketika negara dilanda
pandemik Covid-19.
Alasannya, kebajikan penjawat awam terjaga dan bagi
memastikan kelangsungan serta sumber kewangan kekal.
Sebab lain, kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA telah
disubsidikan pada kadar faedah empat peratus, lebih rendah berbanding kadar
yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.
Sebarang penangguhan kepada bayaran ansuran bulanan
pembiayaan akan memberi kesan kepada aliran wang tunai LPPSA dan ini
membabitkan pinjaman tambahan melebihi RM2 bilion.
Difahamkan, moratorium selama enam bulan hanya
diberikan kepada 4,000 pembeli rumah mampu milik yang berdepan dengan isu
‘rumah sakit’ membabitkan kelewatan pembinaan Perumahan Penjawat Awam Malaysia
(PPAM) dan Projek Perumahan 1Malaysia (Pr1ma).
Daripada semua alasan yang diberikan oleh LPPSA, saya
tertarik dengan ayat kadar faedah LPPSA lebih rendah berbanding yang ditawarkan
oleh mana-mana institusi perbankan tempatan.
Persoalannya, saya yang membuat pinjaman LPPSA selama
30 tahun kini terpaksa membayar pinjaman perumahan Pr1ma sebanyak RM1,200
sebulan berbanding jiran saya yang membuat pinjaman melalui Bank Simpanan
Nasional (BSN) bagi tempoh sama yang hanya membayar RM900.
Kenapa perkara seperti ini boleh berlaku? Sepatutnya
bayaran bulanan LPPSA adalah lebih kecil. Wang perbezaan RM300 cukup besar bagi
kakitangan awam yang turut terjejas akibat kenaikan harga barangan.
Sumber: UTUSAN
0 Response to "Musykil Pembiayaan LPPSA Lebih Mahal"