Mesin Kitar Semula Dengan Ganjaran Wang Tunai
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan
mesin kitar semula dikenali 'Recycling Reverse Vending Machine' (RRVM) yang
memberi ganjaran wang tunai kepada pengguna.
Mesin kitar semula itu memberi ganjaran wang tunai kepada pengguna
yang memasukkan barangan kitar semula seperti botol plastik, tin aluminium dan
kotak minuman.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata,
sebagai langkah menjadikan ibu kota bebas sampah, bersih dan indah, RRVM antara
usaha dilakukan DBKL bagi mengatasi masalah pembuangan sampah.
"Ini satu usaha DBKL untuk menjadikan Kuala Lumpur benar-benar
bandar bersih dan bebas daripada sampah.
"Mesin ini khas untuk sampah kecil yang boleh dikitar semula
terutama selepas kita mengisytiharkan beberapa kawasan sebagai zon bebas
sampah," katanya ketika meninjau pelaksanaan RRVM yang diletakkan di
hentian bas berdepan Menara DBKL 2, di sini, hari ini.
Mahadi berkata, mesin itu akan mengira sendiri nilai sampah yang
dimasukkan dan ganjaran wang tunai akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank
pengguna.
"Saya dapat lihat tadi, satu botol plastik air dinilai lima
sen, kita masuk tiga sampah dan jumlahnya 15 sen.
"Ganjaran duit ini akan terus masuk ke dalam akaun bank kita,
langkah ini bagus bagi mengelak berlakunya kejadian penyeluk saku dan vandalism
serta usaha yang selamat untuk mesin ini tidak diganggu," katanya.
Mahadi berkata, dalam tempoh percubaan tiga bulan ini, RRVM akan
diletakkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti laluan utama menaiki
pengangkutan awam, Dataran Merdeka dan Pintasan Saloma.
"Kita mempunyai data di lokasi yang sesuai diletakkan mesin
ini terutama kawasan tumpuan yang kerap membuang botol plastik dan sampah kecil
lain.
"Ini antara usaha menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bersih
dan bebas sampah sekali gus membawa pelabur dan pelancong masuk ke Malaysia,
inilah antara perkara penting bagi menjamin bandaraya menjadi mampan,"
katanya.
Ditanya adakah mesin RRVM boleh menjadi pendapatan sampingan untuk
orang ramai terutama gelandangan, Mahadi berkata, perkara itu tidak mustahil
dan mesin itu terbuka untuk digunakan oleh sesiapa saja.
"Kalau tiada kerja lain boleh juga membantu DBKL membersihkan
bandaraya ini, kalau ini menjadi punca pendapatan bagi mereka.
"Mesin ini mampu memuatkan sampah kitar semula dengan kapasiti
220 liter dan ada pengesan selepas tong penuh, akan ditukar kepada yang
baru," katanya.
Sumber: Bharian
0 Response to "Mesin Kitar Semula Dengan Ganjaran Wang Tunai"