Malaysia Boleh Naik Ke Ranking 110 Dunia
PETALING JAYA: Selepas tersenarai dalam The Biggest
Climbers sebagai pasukan paling meningkat pada ranking dunia kelmarin,
Malaysia berpotensi besar berada dalam kelompok 110 pasukan bola sepak terbaik.
Kelmarin, Harimau Malaya mendaki tujuh anak tangga dalam
ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan menduduki tangga
ke-147 daripada 154.
Kejayaan menewaskan Brunei, Hong Kong (persahabatan),
Bangladesh serta Turkmenistan (kelayakan Piala Asia 2023) mendorong kepada
kenaikan mendadak.
Menurut FIFA, Malaysia menyertai Greece (naik tujuh
anak tangga ke ranking 48), Cuba 10 tangga (167) dan Kazakhstan 11 tangga (114)
untuk muncul The Biggest Climbers.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Mohd. Sadek
Mustafa, berdasarkan prestasi anak-anak buah Kim Pan Gon, mereka mampu
melonjakkan Malaysia sehingga ke ranking 110 dunia dalam masa tiga tahun lagi.
Bagaimanapun, bagi memenuhi misi itu, Harimau Malaya
perlu mempamer aksi terbaik pada Piala Asia 2023, di mana mereka melayakkan
diri secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.
“Paling utama, pemain yang wakili Harimau Malaya pada
Piala Asia 2023 perlu memperlihatkan komitmen lebih tinggi berbanding aksi
kelayakan dan mesti capai kejayaan besar.
“Kemudian, pasukan bawah 23 (B-23) tahun negara juga
mesti meningkatkan persembahan agar boleh menampung mana-mana kedudukan pemain
skuad utama pada masa hadapan.
“Jika segalanya berjalan lancar, dalam masa tiga tahun
tidak mustahil kita berada di ranking ke-110 dunia iaitu kedudukan hampir sama
dengan Vietnam.
“Purata umur skuad utama sekarang juga bawah 25 tahun,
jadi ia positif jika pemain kekalkan prestasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
HARIMAU Malaya mampu melonjak ke ranking ke-110 dunia
dalam tempoh tiga tahun jika mengekalkan permainan konsisten, selain beraksi
baik pada Piala Asia 2023.
Mohd. Sadek yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti
Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam berkata,
bagi meneruskan kecemerlangan pasukan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga
perlu memainkan peranan besar.
Anak-anak buah Pan Gon mengumpul 1,057.59 mata dalam
ranking terbaharu, sekali gus menyaksikan penambahan 22.53 mata berbanding
sebelum ini.
Berdasarkan kedudukan tersebut, Malaysia berada di
ranking ke-26 dalam kalangan negara Asia, dan keempat di Asia Tenggara selepas
Vietnam (97), Thailand (111) dan Filipina (134).
Ranking terbaik yang pernah dicatat Malaysia adalah 75
pada 1993, manakala tahun 2018 memahat sejarah hitam dalam bola sepak negara
apabila merudum ke tempat ke-178 iaitu kedudukan terburuk mereka.
Sumber: utusan
0 Response to "Malaysia Boleh Naik Ke Ranking 110 Dunia"