Kuala Lumpur: Masalah kekurangan bekalan cip mikro yang
melanda industri automotif global sejak tahun lalu masih berterusan sehingga
kini menyebabkan pembeli kenderaan baharu terpaksa berhadapan tempoh menunggu
lama sebelum menerima kenderaan yang ditempah mereka.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah
Ahmad berkata, pihaknya tidak mengetahui bila masalah berkenaan dapat
diselesaikan dengan tempoh menunggu ketika ini dianggarkan sekitar tiga hingga
lapan bulan bergantung kepada model dan jenama pengeluar.
"Sudah lebih setahun masalah cip mikro berlaku dan kami
tidak tahu bila kekurangan bekalan cip mikro ini akan selesai.
"Ia menjejaskan kereta pemasangan tempatan (CKD) dan
model import sepenuhnya (CBU) apabila komponen tertentu tiada hingga kenderaan
itu tidak dapat dikeluarkan," katanya ketika dihubungi mengulas rungutan
pembeli yang dikatakan terpaksa menunggu lama sebelum mendapat kenderaan
ditempah.
Menurutnya, faktor lain yang turut menyumbang kepada
kelewatan pembeli menerima kenderaan apabila berlaku peningkatan tempahan
pembelian kenderaan baharu susulan insentif pengecualian cukai jualan dan
perkhidmatan (SST) bagi kenderaan yang akan berakhir esok.
Menurutnya, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh
pendaftaran bagi menikmati insentif pengecualian cukai sehingga 31 Mac 2023
pula dapat memberi peluang kepada pembeli memiliki kenderaan pada harga jualan
lebih rendah tanpa SST.
"Selepas habis tempoh insentif pengecualian cukai,
kemungkinan tempahan akan menurun. Bagi tahun ini, MAA meramalkan unjuran
jumlah jualan kenderaan (TIV) adalah sebanyak 600,000 buah.
"Namun, jumlah tempahan yang sudah dibuat, kami tiada
angkanya. Apa pun, permintaan untuk membeli kenderaan baharu boleh menjadi
petanda ekonomi Malaysia semakin baik," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga mendapati tiada pembatalan
tempahan kereta buat masa sekarang kerana Kementerian Kewangan membenarkan
tempahan yang dibuat setakat esok akan mendapat pengecualian cukai SST dan
tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu
dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Namun katanya, tempahan kenderaan baru dijangka menurun
mulai bulan depan susulan keputusan kerajaan.
'Enam bulan baru dapat kereta'
Ramai pembeli kenderaan meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa
menunggu lama mencecah enam bulan untuk mendapatkan model kereta Proton idaman
masing-masing.
Malah, isu tempoh menunggu lama bagi mendapatkan kereta yang
ditempah bukan hanya membabitkan pengeluar tempatan, tetapi juga jenama
kenderaan antarabangsa.
Timbalan Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata,
secara purata Proton menerima kira-kira 26,000 tempahan setiap bulan dengan
model Proton Saga dan Proton X50 mendapati permintaan tertinggi.
Menurutnya, jumlah tempahan yang diterima belum tentu akan
menjadi jumlah jualan sesebuah kenderaan.
"Ini kerana ada pelbagai terma dan syarat yang perlu
dipenuhi, terutama sekali kelulusan pinjaman bank dan ada juga pelanggan yang
akan menukar fikiran.
"Secara am, kadar penukaran tempahan kepada jualan akan
berbeza mengikut model, varian dan juga dipengaruhi oleh kadar bunga bank.
"Seperti jenama kereta yang lain, Proton ada tempahan
yang belum lagi dipenuhi akibat kekurangan bahagian seperti cip mikro yang
menjejaskan jumlah pengeluaran kami.
"Tetapi, dengan pengumuman bahawa tempoh pendaftaran
dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023, maka kami yakin akan dapat memenuhi
permintaan pelanggan bagi semua model," katanya.
Menurutnya, oleh kerana ada banyak lagi tempahan yang belum
dipenuhi, pegangan stok bagi Proton agak rendah buat masa kini.
Beliau berkata, secara am, tempoh menunggu bagi model Proton
adalah kira-kira dua bulan bagi model Proton X70, Proton Persona, Proton Iriz,
Proton Exora dan Proton Saga, tetapi tertakluk kepada pilihan warna serta
varian.
"Proton X50 pula akan mengambil masa kira-kira enam
bulan dan juga tertakluk kepada pilihan warna dan varian.
"Kami yakin akan berjaya memenuhi semua tempahan bagi
kenderaan Proton yang ditempah sebelum 1 Jun lalu dan mendaftarkan kenderaan
terbabit sebelum akhir Mac 2023," katanya.
Katanya, kekangan utama Proton untuk meningkatkan kadar
pengeluaran adalah kerana kekurangan bekalan cip mikro.
"Masalah (kekurangan cip mikro) ini sekarang berada di
tahap global dan selain daripada industri automotif, banyak lagi industri lain
seperti industri elektronik juga mengalami masalah sama," katanya.
'Batal tempahan sebab lama tunggu'
"Selepas enam bulan menunggu, penasihat jualan
memberitahu bahawa stok kereta masih belum ada. Akhirnya saya ambil keputusan
untuk membatalkan tempahan."
Begitu kata eksekutif kewangan Ahmad Aqil Hamden, 25,
apabila terpaksa melupakan hasrat untuk membeli kereta Perodua Bezza kerana
mendakwa kecewa disebabkan perlu menunggu bagi tempoh lama untuk mendapatkan
kenderaan pilihannya.
Menurutnya, dia membuat tempahan kereta itu pada April tahun
lalu di sebuah pusat pameran Perodua dan sudah memberikan dokumen lengkap yang
diperlukan untuk pinjaman kenderaan.
Katanya, pihak bank sudah meluluskan pinjaman bagi pembelian
kereta berkenaan sekali gus membuatkan hatinya rasa tidak sabar menunggu untuk
mendapat kenderaan baru.
"Namun sehingga Oktober 2021, stok kereta itu masih
tiada. Ia mengecewakan. Lebih-lebih lagi perjanjian pinjaman kenderaan hanya
sah tiga bulan dan perlu diperbaharui.
"Maka saya perlu hantar semula dokumen lengkap
diperlukan untuk proses pinjaman baharu menyebabkan saya mengambil keputusan
membatalkan sahaja tempahan kerana kebetulan keperluan kurang mendesak
berbanding ketika saya mula-mula membuat tempahan dahulu," katanya.
Ahmad Aqil yang bekerja di Bangsar berkata, dia bercadang
membeli kereta baharu kerana Perodua Myvi miliknya mahu diberikan kepada
adiknya, Imran Yusuf, 22, untuk berulang-alik ke tempat kerja lamanya di
Kampung Baru, di sini, dari rumah mereka di Selayang.
Menurutnya, apabila adiknya sudah mendapat kerja lain di
sebuah pusat membeli-belah berdekatan Bangsar, dia dan adiknya menaiki
kenderaan bersama kerana menuju ke lokasi kerja berhampiran.
"Masa itu di rumah kami ada tiga kereta iaitu milik
saya, bapa (Hamden Rashidi, 60) dan ibu (Rozlinda Rahim, 56). Jika adik pinjam
kereta ibu dan sekiranya berlaku kecemasan akan menyukarkan ibu walaupun ibu
cuma suri rumah sepenuh masa.
"Pada Mac lalu, ayah saya pula bersara, jadi boleh
menemani ibu di rumah sekali gus keperluan untuk membeli satu lagi kereta tidak
lagi mendesak. Penasihat jualan ada menghubungi saya memberitahu Perodua Bezza
sudah ada stok pada Februari lalu, tetapi saya tak ambil sebab rasa belum ada
keperluan," katanya.
Peniaga dalam talian, Ezilea Omar, 42, pula berkata, dia
terpaksa membuat pilihan untuk membeli kenderaan yang mempunyai tempoh menunggu
tidak lama.
Menurutnya, mengikut perancangan asal, dia lebih berminat
mendapatkan Proton X50, tetapi diberitahu penasihat jualan bahawa tiada stok
tersedia dan perlu menunggu antara sembilan hingga 12 bulan.
"Selepas meninjau di beberapa pengedar untuk
mendapatkan kenderaan yang paling cepat boleh dimiliki, saya membuat keputusan
untuk membeli kereta Honda City hatchback.
"Minggu lalu baru masuk tempahan pendaftaran dan
insya-Allah dapat dimiliki kereta itu dalam tempoh antara tiga hingga empat
bulan nanti," katanya sambil memberitahu insentif pengecualian cukai
antara faktor untuknya menyegerakan pembelian kereta baru.
Dalam pada itu, Mohd Shafiq Mohd Luthfi Ismail, 36, yang
bekerja sendiri berkata, dia berasa lega apabila sudah memperolehi kenderaan
utiliti sukan (SUV) idamannya Toyota Corolla Cross.
Katanya, dia membuat pendaftaran tempahan pada hujung
Januari lalu dan menerima kenderaan kompak itu pada pertengahan Mei lalu.
"Saya beli versi petrol bukan versi hibrid. Penasihat
jualan memberitahu jika nak ambil versi hibrid kena tunggu lebih lama sebab
permintaannya tinggi selain kereta berspesifikasi tinggi buat masa ini ada
masalah kekurangan bekalan cip mikro.
"Sebelum ini saya pakai Proton Persona. Saya berhasrat
tukar sebab selain sudah lama pakai kereta itu, saya mahu menambahbaik dari
segi keselesaan dan juga ciri keselamatan," katanya.
Hak pengguna untuk batal jika penantian tidak berbaloi
Kuala Lumpur: Pembeli yang masih menunggu bagi mendapatkan
kereta idaman mereka boleh membatalkan tempahan jika berasa tidak berbaloi
untuk menunggu dalam tempoh yang lama.
Penganalisis automotif Hezeri Samsuri berkata, orang ramai
mempunyai hak untuk membatalkan tempahan, namun kebiasaannya terdapat sedikit
bayaran pengurusan yang perlu dijelaskan.
"Lazimnya caj pengurusan dikenakan rendah dan ada juga
syarikat kereta yang tidak mengenakan sebarang caj. Sangat penting apabila
membuat tempahan, pembeli harus mendapatkan resit rasmi syarikat.
"Namun begitu, pembeli juga boleh menunggu kalau mereka
mahu, tetapi jika berniat trade-in (tukar beli) kereta, nilainya akan menurun.
Itu puncanya kebanyakan pembeli berubah fikiran dan membeli kereta recond atau
kenderaan terpakai sebab pinjaman sudah lulus, namun stok kereta baru gagal
diterima.
"Hakikatnya, isu kereta lambat diterima ini bukan
masalah yang disengajakan oleh syarikat pengeluar kerana cip mikro adalah punca
utamanya. Industri automotif bukanlah pelanggan utama, malah cip mikro juga
untuk sektor elektronik dan syarikat pengeluar kenderaan juga perlu 'berlawan'
dengan industri telefon pintar, gaming, gajet dan pelbagai lagi," katanya.
Beliau berkata, apabila komponen tidak mencukupi, kereta
tidak boleh dipasang menyebabkan syarikat besar seperti Toyota mula membeli
bahan mentah untuk membuat cip mikro dengan harapan boleh 'memaksa' kilang
elektronik membuatkan cip khusus untuk stok mereka.
Menurutnya, syarikat pengeluar kenderaan memang sedang
mencari penyelesaian terbaik dan mereka sudah mula menempah cip mikro dalam
jumlah lebih besar atau membuat tempahan awal.
Isu ini juga katanya, sudah semakin reda sebenarnya tetapi
pembeli masih harus menunggu antara dua bulan hingga tiga bulan terutama kereta
pemasangan tempatan (CKD).
"Ada satu lagi isu sebenarnya iaitu masalah kekurangan
pekerja untuk kilang-kilang vendor komponen tempatan.
"Ini pun menyebabkan pengeluaran menjadi perlahan dan
pekerja asing masih tak boleh masuk (bekerja di negara ini) dan ini menyebabkan
kekurangan pekerja.