Kerajaan Perlu Ada Intervensi Kawal Harga Barang


 

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan langkah intervensi bagi menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran, sekali gus mengelak rakyat terus terkesan dengan isu kenaikan harga.

 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tambahan bayaran RM50 dan RM100 diberikan kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) seperti diumumkan kerajaan semalam dilihat tidak mencukupi untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan.

 

"Tambahan RM100 itu tidak memberikan makna besar kalau kita tidak dapat mengawal peningkatan kos.

 

"Peningkatan kos ini perlu distabilkan dengan intervensi kerajaan dan perlu ada intervensi serta dana untuk menstabilkan harga barangan keperluan.

 

"Jadi saya merasakan kita perlu lihat balik dan kerajaan perlu telus untuk bagaimana merombak semula atau menggunakan pendekatan baharu dalam memastikan bahawa subsidi bersasar ini dioptimumkan dengan baik, sekali gus memastikan harga barangan stabil," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada program bicara Anthony Jawab Jujur yang dikendalikan oleh Syahrezan Johan selaku moderator di media sosial.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima BKM selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika ini.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil keputusan menyalurkan bantuan tunai tambahan itu kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

 

Jelas Ismail Sabri, setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

 

Mengulas tambahan bayaran untuk BKM itu, Loke berkata bantuan itu tidak diberikan secara menyeluruh terutama kepada golongan M40 yang turut menerima implikasi langsung berikutan langkah kerajaan memansuhkan beberapa subsidi.

 

"Tambahan RM100 kalau dilihat dalam tempoh sebulan, sebenarnya secara purata hanya tambahan RM3 sehari dan jumlah itu tidak memberikan apa-apa perbezaan kerana saya merasakan masalah inflasi hari ini agak serius.

 

"Satu lagi membabitkan golongan pertengahan yang mana kebanyakan mereka tidak mendapat bantuan langsung ini. Mereka yang tak dapat bantuan ini, sebenarnya perlu tampung kenaikan harga barangan," katanya.

 

Dalam pada itu, beliau menegaskan bukan mahu menggalakkan rakyat tidak bersyukur dengan bantuan diberikan, namun ia sememangnya tidak mencukupi.

 

"Bantuan itu amat diperlukan dan ia memberi sedikit kelegaan, tetapi ia tidak cukup," katanya.

 

Sumber: Bharian