Kerajaan Kekal Subsidi Minyak Masak Berpaket
KUALA LUMPUR: Subsidi minyak masak berpaket dikekalkan
dengan peruntukan RM4 bilion sepanjang tahun ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob.
Perdana Menteri berkata, peruntukan subsidi minyak
masak tahun ini adalah jauh lebih tinggi berbanding RM500 juta yang
diperuntukkan pada 2020 serta RM2.2 bilion pada 2021.
Susulan itu, beliau menafikan dakwaan mengatakan kerajaan
memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan.
"Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak
berpaket bagi membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram ketika ini,
berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram bagi kegunaan
domestik.
"Ertinya subsidi minyak masak paket yang bermula
sejak Jun 2007 masih dilaksanakan kerajaan hari ini dan tidak ditarik balik
seperti digambarkan sesetengah pihak," katanya ketika sidang media khas
yang disiarkan secara langsung di televisyen dan secara maya, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak mendakwa
kerajaan memansuhkan sepenuhnya subsidi minyak masak, yang menimbulkan
kebimbangan mengenai peningkatan inflasi makanan.
Ia susulan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam,
mengenai pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol berkapasiti dua hingga
lima kilogram (kg), bermula 1 Julai ini.
Mengulas pengumuman itu, Perdana Menteri menjelaskan,
pemansuhan itu hanya membabitkan program subsidi sementara merangkumi minyak
masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg, membabitkan peruntukkan berjumlah
RM55 juta sebulan.
Menurut Ismail Sabri, program subsidi sementara yang
bermula Ogos tahun lalu itu asalnya dikhususkan selama tiga bulan sahaja untuk
membantu rakyat yang terkesan ketika pandemik COVID-19, sebelum ia dilanjutkan
setiap tiga bulan, kemudian sehingga kini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan terpaksa memansuhkan
program itu selepas mendapati minyak masak botol bersubsidi banyak
diselewengkan pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.
"Berbanding minyak masak paket, minyak masak botol
dilihat lebih mudah diseludup. Jika 10 botol minyak masak botol bersubsidi 5kg
diseludup, ia bererti sudah 50kg.
"Melihat kepada penyelewengan yang berlaku,
kerajaan memutuskan tiada lagi keperluan untuk meneruskan subsidi minyak masak
botol kerana ia tidak tidak lagi menepati objektif ia diperkenalkan untuk
membantu golongan terkesan pandemik," katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri menegaskan subsidi minyak
masak paket adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, khususnya
golongan B40.
"Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah
sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi keperluan sebenar pengguna iaitu
sebanyak 55,000 tan metrik sebulan.
"Jadi, jumlah minyak masak yang disubsidi oleh
kerajaan mencatatkan lebihan 5,000 tan metrik sebulan berbanding keperluan
sebenar pengguna. Jadi, tiada sebab ia tidak mencukupi," katanya.
Sumber: Bharian
0 Response to "Kerajaan Kekal Subsidi Minyak Masak Berpaket"