Bayan Lepas: Jurutera ditahan kerana menghalang pegawai
polis trafik daripada menjalankan tugas dalam kejadian di Jalan Tun Dr Awang,
di sini, semalam.
Rakaman video berdurasi 2 minit 55 saat memaparkan tindakan
lelaki itu juga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal
Jenal berkata, dalam kejadian pada 6.30 petang itu, anggota polis berkenaan
menahan kereta dipandu lelaki terbabit yang didapati menggunakan telefon bimbit
ketika memandu.
Katanya, selain tidak berpuas hati disaman, suspek juga
turut ingkar dengan arahan anggota polis berkenaan supaya tidak membuat rakaman
menggunakan telefon bimbit miliknya.
"Tindakan itu mendatangkan gusar kepada anggota polis
dari Bahagian Siasatan dan Penguasaan Trafik terbabit ketika sedang menjalankan
tugas mengeluarkan saman.
"Pegawai polis berkenaan cuba menahan suspek dan
merampas telefon bimbit bagi tujuan siasatan. Namun lelaki itu melakukan
kekerasan jenayah terhadap pegawai polis terbabit sehingga berlaku
pergelutan," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kamarul Rizal berkata, suspek berjaya
ditahan di tempat kejadian dan direman selama tiga hari sehingga 30 Jun ini di
Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 353, 186 dan 188
Kanun Keseksaan (KK).
Sumber: hmetro