Johor Mungkin Kembali Cuti Sabtu, Ahad, Jumaat Kerja Separuh Hari
Kerajaan negeri Johor mungkin melaksanakan hujung minggu rasmi dua
setengah hari, dengan hari Jumaat sebagai kerja separuh hari, diikuti Sabtu dan
Ahad sebagai hari rehat hujung minggu, menurut beberapa sumber.
Malay Mail yang memetik sumber sebagai berkata bahawa cadangan
hujung minggu dua setengah hari akan membolehkan umat Islam bersiap sedia untuk
solat Jumaat.
“Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, kerajaan negeri akan
menamatkan hari bekerja Jumaat pada tengah hari, dan penjawat awam tidak perlu
kembali ke pejabat selepas solat Jumaat.
“Sabtu dan Ahad akan ditetapkan sebagai hari rehat rasmi dan
permulaan minggu bekerja adalah pada Isnin berikutnya.
“Dari Isnin hingga Khamis, mungkin ada tambahan waktu bekerja dari
8 pagi hingga 6 petang untuk menggantikan separuh hari Jumaat.
“Pada masa ini, waktu kerja rasmi adalah dari 8 pagi hingga 5
petang,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
kemungkinan Johor kembali menjadikan Sabtu dan Ahad sebagai hari rehat hujung
minggu.
Kerajaan Johor sebelum ini telah menjadikan Jumaat dan Sabtu
sebagai hari rehatnya sejak 1 Januari 2014, berikutan titah Sultan Ibrahim
Sultan Iskandar sempena sambutan hari keputeraan baginda ke-55 pada 23 November
2013.
Sultan Ibrahim dilaporkan berkata, perubahan itu bagi memudahkan
umat Islam di Johor menunaikan solat Jumaat.
Satu lagi sumber, yang mengetahui maklumat mengenai cadangan
semakan hari rehat untuk Johor, mengesahkan bahawa kerajaan negeri berpotensi
melaksanakan dua setengah hari cuti rehat.
“Peraturan itu nampaknya akan dilaksanakan dan ia telah dimaklumkan
kepada Sultan Ibrahim sebelum baginda berangkat memulakan cuti pada 18 Jun,”
katanya.
Sumber yang sama menegaskan bahawa tempoh pelaksanaan akan
mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk membolehkan penentukuran sistem
tertentu dalam kerajaan negeri.
“Sebenarnya, kami sedang memperhalusi cadangan untuk diluluskan dan
disahkan tidak lama lagi.
“Semoga hari rehat hujung minggu baharu dapat dilaksanakan tahun
ini,” kata sumber itu.
Pada 14 Jun lalu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata
kerajaan negeri sedang melihat kemungkinan menyemak semula hari rehatnya
selepas mendengar maklum balas rakyat mengenai perbezaan antara kerajaan dan
badan swasta.
Beliau berkata penyelesaian kepada perkara itu boleh diumumkan
tidak lama lagi.
Sumber: agendadaily
0 Response to "Johor Mungkin Kembali Cuti Sabtu, Ahad, Jumaat Kerja Separuh Hari"