PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil
keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan
menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi
Semenanjung Malaysia mulai Jumaat ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald
Kiandee, berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling
runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43
sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).
Ronald berkata penetapan harga ayam standard dan telur ayam
itu membabitkan Semenanjung.
Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling ayam pada
RM8.90 sekilogram sebelum harga itu sebelum ini diputuskan untuk diapungkan
mulai 1 Julai ini. Bagaimanapun, kerajaan membatalkan rancangan membiarkan
harga ayam diapung dan akan mengumumkan harga siling baharu.
Keputusan ini juga telah mengambil kira dan diselaraskan
dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini melalui inisiatif bantuan tunai
termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40
dan sebahagian daripada golongan M40.
Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi
rumah bakal menerima hingga RM2600 tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang
pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.
Dengan pelaksanaan subsidi ini, Kerajaan memperuntukkan
sebanyak RM369.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak
RM1.1 bilion sejak 5 Februari 2022.
Isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja,
sebaliknya ia adalah fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat
konflik geopolitik dan perubahan iklim.
Namun, Kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme
pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan
cabaran kos sara hidup.