Harga Siling Ayam, Telur Dan Subsidi Minyak Dimansuhkan Mulai 1 Julai Ini
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi
minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai
ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan
itu dijangka akan meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan
makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.
“Kami jangka harga siling ayam akan naik selepas 30 Jun ini
berbanding RM8.90 sekilogram ketika ini tetapi pihak industri telah memberi
jaminan harganya tidak akan naik terlalu mendadak.
“Saya dimaklumkan oleh pihak industri bahawa harga siling ayam
sekilogram akan berlegar sekitar RM10 sekilogram. Saya tidak berani sahkan
berapa harganya nanti kerana bila harga kawalan ditarik, harga akan diapungkan
ikut pasaran.
“Bagaimanapun, kami bagi jaminan kenaikan harga ayam tidak akan
naik mendadak tapi jika ia berlaku, kami akan pantau dan gunakan peraturan
sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi libat urus bersama pemain
industri di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini, kerajaan telah mengawal harga siling ayam dan
telur ayan bagi membantu meringankan kenaikan harga barangan namun, tindakan
itu menyebabkan herotan pasaran dan harga.
Dalam pada itu, Alexander berkata, kerajaan masih meneruskan subsidi
minyak masak polibeg pada harga RM2.50 sekilogram untuk semua pengguna di
seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya, subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasab
botol 2kg, 3kg dan 5kg tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini dan ia akan
ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia.
Sumber: KOSMO! ONLINE
0 Response to "Harga Siling Ayam, Telur Dan Subsidi Minyak Dimansuhkan Mulai 1 Julai Ini"