Harga Kereta Dijangka Naik 10 Peratus Bulan Depan.
KUALA LUMPUR: Harga kereta dijangka meningkat sehingga 10 peratus
jika kerajaan memutuskan untuk tidak melanjutkan pengecualian cukai jualan dan
perkhidmatan (SST) yang akan berakhir hujung bulan ini.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad,
berkata peningkatan harga kereta bermula bulan depan tidak dapat dielakkan
memandangkan insentif 'cuti cukai' yang diberikan kerajaan itu membolehkan
rakyat menikmati harga lebih rendah.
Malah, katanya, insentif yang mula dinikmati sejak Jun 2020 itu
bukan hanya membantu rakyat memiliki kereta pada harga lebih rendah, malah
membantu melonjakkan permintaan, sekali gus menyokong industri automotif yang
bergelut sepanjang tempoh pandemik.
"Pasaran automotif (dijangka) akan menyaksikan kenaikan harga
kereta 10 peratus bagi model CKD, manakala model import sepenuhnya (CBU) pula
sekitar lima peratus jika pengecualian cukai yang masih berlangsung ketika ini
tidak lagi dilanjutkan.
"Untuk rekod, majoriti 90 peratus daripada jumlah keseluruhan
industri (TIV) adalah model CKD dengan baki 10 peratus lagi CBU. Bermakna,
kesan kenaikan lebih besar akan dihadapi oleh majoriti pembeli kenderaan,"
katanya kepada BH.
Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang
termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis
CKD dan CBU diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi
Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.
Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD
dan 50 peratus bagi model CBU.
Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian
cukai terbabit untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.
Pada 31 Mei 2021, kerajaan sekali lagi bersetuju melanjutkan
pengecualian cukai sama sehingga 31 Disember 2021.
Bagaimanapun, sebelum tempoh insentif itu berakhir, Menteri
Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan
memutuskan melanjutkan pengecualian cukai sehingga 30 Jun ini untuk
mengurangkan kos pemilikan kenderaan, selain meringankan beban rakyat.
Mengulas lanjut, Aishah berkata, MAA masih menunggu maklum balas
daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung keputusan sama ada melanjutkan
atau menamatkan insentif pengecualian SST ke atas kenderaan penumpang.
Katanya, persatuan itu menggariskan beberapa justifikasi untuk
dipertimbangkan oleh kerajaan seterusnya membuat keputusan yang terbaik untuk
rakyat dan industri automotif.
"Kami belum mendapat maklum balas daripada MOF. Namun, kita
mengharapkan pengecualian ini dapat dilanjutkan untuk tempoh tertentu
berdasarkan beberapa faktor.
"Pertama, kita mahu rakyat terus menikmati harga yang rendah
memandangkan tempahan tertunggak tinggi ketika ini dan pengeluar berdepan
dengan isu stok.
"Kedua, industri automotif masih berdepan dengan isu
kekurangan cip komputer menyebabkan pengeluaran kenderaan berdepan cabaran.
Masalah ini sudah pasti menjejaskan tempoh penghantaran kenderaan yang telah
ditempah oleh pembeli. Ketika ini tempoh menunggu agak lama dan ada sesetengah
model melebihi enam bulan.
"Isu cip, meskipun penggunaan cip komputer dalam industri
automotif kecil jika dibandingkan dengan industri elektrik dan elektronik,
namun ia memberi kesan besar yang menyebabkan pengeluaran kenderaan tidak
lengkap dan tergendala," katanya.
Berikutan langkah kerajaan melanjutkan pengecualian SST sejak Jun
2020, TIV berada pada 529,514 unit pada 2020, sebelum menurun sedikit kepada
508,911 unit setahun kemudian.
Tahun ini, MAA menjangkakan TIV melonjak kepada 600,000 unit,
sebelum terus meningkat 7.5 peratus kepada 645,000 unit pada 2023.
Sementara itu, berhubung dasar pengiraan nilai pasaran terbuka
(OMV) duti eksais baharu yang mungkin berkuat kuasa tahun depan, Aishah
berkata, perbincangan dengan MOF masih berjalan dan ketika ini kementerian itu
masih menilai permintaan daripada MAA.
"MOF menunjukkan 'rasa simpati' dan hasil perbincangan bersama
MAA, ada output positif dan wujud kemungkinan polisi lama akan
dikekalkan," katanya.
Sebelum ini, MAA mendedahkan harga kereta CKD termasuk jenama
nasional berpotensi meningkat lapan hingga 20 peratus sekiranya pengiraan OMV
duti eksais baharu dikuatkuasakan tahun hadapan.
Harga baharu kenderaan CKD yang lebih tinggi tidak dapat dielakkan,
jika kerajaan berhasrat melaksanakan kadar pengiraan baharu yang memasukkan
lain-lain kos pembuatan ke dalam duti eksais bermula 2023.
Mac lalu, MAA telah mengemukakan cadangan kepada MOF untuk menilai
semula struktur baharu yang dilihat akan membebankan pengguna dan menjejaskan
daya saing pasaran automotif tempatan.
Pengiraan baru duti eksais Malaysia disediakan oleh MOF semasa
pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan telah diwartakan pada 31 Disember 2019.
Struktur pengiraan baharu yang akan dilaksanakan Jabatan Kastam
Diraja Malaysia (JKRM) itu ditangguhkan pada 2020 sehingga penghujung tahun
ini, namun jika ia tidak dinilai semula, pastinya akan memberi kesan kepada
penawaran harga kenderaan CKD.
OMV adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD
yang siap dipasang dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke
atasnya.
Sumber: Bharian
0 Response to "Harga Kereta Dijangka Naik 10 Peratus Bulan Depan."