Harga Ayam Dijangka Naik RM11 Sekilo Mulai 1 Julai
ALOR SETAR: Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk
Seri Ronald Kiandee menjangkakan harga ayam mentah di pasaran akan mencecah
sehingga RM11 sekilogram.
Menurut beliau, senario itu dijangka berlaku susulan kerajaan tidak
lagi menguatkuasakan pelaksanaan harga siling RM8.90 seperti yang diperkenalkan
Februari lalu selain menarik balik pemberian subsidi RM1.40 yang diberi kepada
penternak ayam dibawah Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).
"Harga ayam tentu sekali (naik dan) jika diapungkan (ia akan)
lebih tinggi daripada RM8.90, ia akan ditentukan oleh pasaran bermula daripada
1 Julai ini.
“Yang pasti (harga) akan lebih tinggi daripada RM8.90, sama ada
(berharga) RM10, RM11 ataupun lebih RM11, ia akan ditentukan dengan harga
pasaran.
“Tentu sekali kerajaan memantau agar tidak ada elemen (mengambil
lebihan untung) yang akan diambil oleh mana-mana (pihak)," tegas Ronald.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan
lawatan kerja ke kilang ayam milik Bismi Empire Sdn Bhd (BISMI) di Simpang
Empat di sini, pada Selasa.
Ronald, dalam masa sama, memberi jaminan kerajaan akan terus
membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) melalui subsidi
yang akan disalurkan secara terus kepada kumpulan berkenaan seperti diumumkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
"Kerajaan tidak akan biarkan rakyat untuk membeli harga yang
lebih tinggi, sebab itu subsidi untuk (masa) akan datang ini akan dialihkan
kepada kumpulan B40 (seperti) , yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri dua
minggu lalu.
"Kementerian Kewangan dalam proses untuk menentukan jumlah
subsidi yang akan dibagi kepada B40 dan bila diadakan (itu) akan ditentukan
oleh Kementerian Kewangan tetapi saya yakin (ia) akan disalurkan bantuan ini
sebelum 1 Julai akan datang," kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Ronald memaklumkan, pihak industri
penternakan ayam kini dalam usaha mengembalikan semula kapasiti pengeluaran
pada tahap maksimum iaitu sekitar 1.8 juta sehingga 2 juta ekor sehari agar
tidak lagi berlaku krisis atau masalah kekurangan bekalan ayam seperti yang
berlaku sebelum ini.
Tambahnya, pemerhatian lanjut juga sedang dilakukan terhadap
bekalan ayam di seluruh negara dalam masa dua hingga tiga minggu lagi sebelum
kerajaan mengkaji semula larangan mengeksport ayam ke luar negara.
0 Response to "Harga Ayam Dijangka Naik RM11 Sekilo Mulai 1 Julai"