FAM Sentiasa Sedia Penuhi Permintaan KPG
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan sentiasa
memastikan mereka dapat memenuhi permintaan jurulatih Kim Pan Gon dalam usaha
untuk mengembalikan 'ngauman' skuad Harimau Malaya.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan badan induk itu
berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pengendali dari Korea Selatan itu
apabila 'menuntut' sesuatu demi manfaat pasukan kebangsaan.
"Apabila seseorang mahukan sesuatu, dia kena tunjukkan kerja
dan mengapa (permintaan). Jadi saya berpuas hati dengan penjelasan dan
justifikasi yang diberikan (Pan Gon).
"Cabaran adalah dari segi kewangan dan perbelanjaan tetapi
saya fikir permintaannya pun tidak sesukar mana kerana ia memang sepatutnya dibuat
antaranya perkara seperti peralatan, tempoh masa dan sebagainya.
"Sama juga seperti sebelum ini cuma dia memanfaatkan sebaik
mungkin. Kalau dia minta tetapi tidak dimanfaatkan pun, benda ini tak boleh
sampai (kepada pemain)," kata Hamidin.
Sebagai rekod, skuad kebangsaan menamatkan penantian 42 tahun untuk
layak ke Piala Asia secara merit selepas muncul sebagai lima naib juara terbaik
sekali gus menyertai tiga lagi negara ASEAN iaitu Vietnam, Thailand dan
Indonesia
Dalam perkembangan sama, Hamidin mendedahkan pendekatan yang
digunakan oleh Pan Gon kepada barisan pemain kebangsaan tidaklah 'sekeras'
seperti dijangkakan penyokong bola sepak tempatan.
"Saya tidak perlu dedahkan tetapi cukup saya bagi contoh di
mana apabila saya tanya pemain mengenai perbezaan yang dilakukan Pan Gon jika
dibandingkan dengan cara yang digunakan jurulatih asing, mereka kata cepat,
tepat dan mudah.
"Saya ingat rumit tetapi apa yang saya nampak adalah untuk
berjaya, 50 peratus kejayaan kena datang daripada dalam padang dan 50 peratus
lagi di luar padang," katanya.
Sumber: Bharian
0 Response to "FAM Sentiasa Sedia Penuhi Permintaan KPG"