SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob mengumumkan tambahan sebanyak RM100 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi
setiap isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) dan RM50 bagi bujang di
bawah inisiatif tersebut.
Bagaimanapun, saya berasa agak terkilan apabila ada
sesetengah pihak yang mempersendakan bantuan tambahan itu.
Secara keseluruhannya, sebagai seorang yang berasal daripada
keluarga miskin tegar, pengumuman oleh Perdana Menteri amat dialu-alukan dan
memberi manfaat kepada kami.
Tidak ada gunanya setengah pihak membesar-besarkan isu ini
kerana pihak itu, terutamanya parti pembangkang tidak akan memahami nasib
golongan miskin tegar.
Nilai sebanyak RM100 mungkin sedikit bagi sesetengah orang,
tetapi bagi golongan miskin tegar, ia bermakna kami akan mendapat seminggu atau
lebih tambahan makanan.
Oleh itu, saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini
untuk mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas bantuan tambahan
itu.
Mungkin ada pihak yang bertanya apa yang boleh dibeli dengan
RM100 hari ini? Bagi orang kaya, mereka mungkin boleh membeli dua keping kek
keju dan dua cawan kopi di kedai kopi terkenal.
Tetapi untuk keluarga miskin seperti saya, ia boleh memberi
kami makan selama seminggu. Bunyi mustahil untuk sesetengah orang? Itulah
realitinya.
Kami tidak makan di restoran atau hotel, tetapi sebaliknya,
kami menggunakan wang itu untuk membeli beras dan keperluan lain yang dimasak
di rumah dan boleh bertahan beberapa hari.
Saya dibesarkan dalam keluarga yang sangat miskin di Gemas,
Negeri Sembilan dan benar-benar tahu betapa berharganya RM100 kepada keluarga
seperti saya.
Ayah saya seorang pekerja sambilan dan ibu saya mencuci
pinggan di restoran berhampiran rumah kami. Kami susah, tetapi kami gembira dan
melalui kerja keras ibu bapa, saya mendapat pendidikan seperti orang lain.
Sumber: UTUSAN