'Bayaran Tambahan Kepada Penerima Bantuan Keluarga Malaysia'
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, tambahan
bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selepas
mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika
ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil keputusan menyalurkan
bantuan tunai tambahan itu kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi
rumah dan RM50 untuk individu bujang.
Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM500
mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan
dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan
bernilai RM630 juta.
Katanya, ia akan memberi manfaat kepada hampir 8.6 juta penerima,
merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang.
"Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara
berperingkat mulai 27 Jun ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.
"Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan
B40, terutamanya bagi menyambut Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan
seperti dijadualkan.
"Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan
dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500, tahun ini. Bantuan ini adalah
tertinggi yang pernah diberikan mana-mana kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas secara maya di
Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung
yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40 dengan
semakan status pembayaran boleh dibuat bermula Isnin ini, melalui pautan
https://bkm.hasil.gov.my.
"Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa
terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited
dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan
sasar," katanya.
Sumber: Bharian
0 Response to "'Bayaran Tambahan Kepada Penerima Bantuan Keluarga Malaysia'"