Kota Bharu: Hampir 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga
G7 'gulung tikar' apabila tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor
terutama disebabkan kenaikan harga bahan binaan dan situasi pandemik Covid-19.
Timbalan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk
Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, jumlah kontraktor berkenaan tidak memperbaharui
lesen sejak 2018 hingga kini.
Katanya, pelbagai faktor yang menyumbang masalah berkenaan
termasuklah modal tidak mencukupi dan kekurangan projek susulan pandemik
Covid-19.
"Di Malaysia, seramai 126,000 kontraktor sama ada yang
berdaftar dan tidak berdaftar. Daripada jumlah itu, hampir 50,000 kontraktor
tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai kekangan terutama kos bahan
binaan yang semakin meningkat.
"Mereka yang tidak memperbaharui lesen adalah
kontraktor gred G1 hingga G7. Keadaan ini lebih terkesan apabila mereka yang
tidak mampu memperbaharui lesen namun pada masa sama terpaksa menanggung
hutang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri
Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kelantan kali ke-45, di sini, hari ini, yang
dirasmikan oleh Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian
Hamdan.
Mohd Rosdi berkata, kerajaan perlu memikirkan pelan
pemulihan bagi membantu kontraktor yang berdepan masalah berkenaan.
"Jika dulu, kerajaan ada tabung pemulihan usahawan dan
ia boleh membantu mereka yang berpotensi namun kehabisan modal.
"Setiap modal yang diperlukan untuk memperbaharui lesen
bergantung kepada gred kontraktor masing-masing.
"Saya yakin kumpulan kontraktor ini tidak mampu
menceburi bidang lain memandangkan perkara utama yang perlu difikirkan adalah
faktor modal," katanya.
Mohd Rosdi yang juga Yang Dipertua PKMM Kelantan turut
berharap supaya kerajaan sentiasa melakukan pemantauan berhubung kenaikan
mendadak kos bahan binaan.
"Bahan binaan naik kita boleh terima namun sekiranya ia
sentiasa berlaku kenaikan sehingga mencecah 30 peratus, saya beranggapan
mungkin pihak tertentu cuba mengambil kesempatan.
"Justeru, kerajaan perlu mengadakan perjumpaan dengan
pengeluar untuk melihat faktor sebenar berlaku peningkatan harga barang
ini," katanya.