3 Kanak-kanak Dikurung Setahun Dalam Rumah
JAKARTA – Masyarakat Kota Balikpapan dalam wilayah
Kalimantan Timur dikejutkan dengan penemuan tiga orang kanak-kanak perempuan
berusia enam, 10 dan 14 tahun yang dikurung di dalam rumah mereka di Perumahan
Sosial RT 28, sejak setahun lalu.
Menurut laporan laman KlikKaltim, penduduk kampung
beramai-ramai pergi membebaskan tiga kanak-kanak tersebut selepas perkara
sebenar diketahui.
Ketika didatangi petugas masyarakat dan penduduk setempat,
rumah tersebut berada dalam keadaan terkunci dari luar. Di salah satu bilik
tidur, terdapat kunci mangga yang dipasang lebih daripada satu.
Keadaan bilik yang menempatkan kanak-kanak berkenaan juga
amat menyayat hati dengan ruangan sempit seperti bilik tahanan.
Ketua kampung, Alpirawan, mengesahkan penemuan tiga
kanak-kanak tersebut. Menurutnya, perkara itu terbongkar selepas mereka sudah
lama tidak melihat kanak-kanak tersebut bersekolah.
“Pihak sekolah pernah datang bertanya mengenai keadaan tiga
kanak-kanak itu kerana tidak pernah datang belajar.
“Mereka juga sudah setahun tidak dilihat keluar rumah atau
bermain di kawasan sekitar,” kata Alpirawan.
Menurut Alpirawan, ibu bapa mangsa mendakwa ketiga-tiga
anaknya berada di sekolah asrama di Jawa, namun ia tidak dapat mengurangkan
rasa curiga lelaki itu.
Justeru, dia memutuskan untuk melaporkan hal tersebut kepada
Jabatan Masyarakat Kelurahan Batu Ampar mengenai kemungkinan ada kanak-kanak
dikurung di dalam rumah.
Ketika ketiga-tiga mangsa ditemui, mereka berada dalam
keadaan tertiarap dan lemah. Wajah mereka juga pucat kerana sudah setahun tidak
melihat cahaya matahari.
Menurut Alpirawan, ibu bapa mangsa dikatakan sudah berpisah
dan si suami sangat takut pada isterinya malah sudah lama tidur di luar rumah.
Ketiga-tiga kanak-kanak anak tersebut telah dibawa ke Unit
Pelaksanaan Teknikal Perkhidmatan (UPTD) Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA)
Balikpapan untuk siasatan lanjut. – Agensi
0 Response to "3 Kanak-kanak Dikurung Setahun Dalam Rumah"