‘YB’ Mengamuk, Pertikai Guru Larang Kenderaan Ibu Bapa Masuk Sekolah
PETALING JAYA – Seorang wakil rakyat mengamuk serta
mempertikaikan pengurusan pihak sekolah yang melarang kenderaan ibu bapa
mahupun wakil yang ingin mengambil pelajar masuk sehingga ke dalam kawasan
sekolah.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik pengguna Facebook,
Rafizah Cian Lin berkongsi situasi ketika individu tersebut tampil menyuarakan
pandangannya agar pihak sekolah membenarkan kenderaan penjaga masuk ke kawasan
sekolah.
Katanya, ia bertujuan dapat mengurangkan kesesakan lalu
lintas yang berlaku di luar kawasan sekolah memandangkan sekolah berkenaan
mempunyai dataran luas untuk digunakan sebagai tempat mengambil dan menurunkan
pelajar.
Namun, cadangan individu berkenaan ditolak oleh guru yang
bertugas menjaga pagar sekolah ketika menyambut kedatangan pelajar sesi pagi.
Dalam rakaman yang dikongsikan, dapat dilihat kejadian
tersebut akhirnya menimbulkan perdebatan antara mereka kerana individu terbabit
tetap berkeras dengan cadangannya itu.
“Benarkan kereta masuk, bagi tahu saya kenapa kereta tak
boleh masuk.
“Kenapa anda terlalu pentingkan diri, inikah dinamakan
pendidikan,” kata individu tersebut.
“Siapa nak jamin keselamatan murid di dalam kawasan sekolah
jika kenderaan bebas keluar masuk sehingga ke dalam,” balas guru bertugas.
Sementara itu, meninjau ke ruangan komen, pelbagai reaksi
turut diberikan oleh orang ramai berhubung kejadian tersebut.
“Betul tindakan guru itu, pelajar ramai dalam sekolah keluar
masuk, apabila terjadi pelanggaran dalam sekolah, automatik dah jadi
tanggungjawab guru dan sekolah, jadi apa-apa mereka yang susah,” ujar Noor
Hidayah.
“Sekolah ada hak nak benarkan kenderaan masuk atau keluar,
itu kawasan sekolah, bukan hak ‘YB’ nak tentukan itu ini sesuka hati,” komen
Fikri.
“Amboi ‘YB’, garangnya, sepatutnya, buat perbincangan
bersama pihak pengurusan sekolah dahulu, bukan terus serang guru bertugas,
mereka jalankan tugas seperti mana diarahkan, kalau wakil rakyat pun cepat
melenting depan orang ramai, buat malu sahaja,” kata seorang pengguna.
– KOSMO! ONLINE
0 Response to "‘YB’ Mengamuk, Pertikai Guru Larang Kenderaan Ibu Bapa Masuk Sekolah"