Waspada Modus Operandi Baharu Macau Scam
PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan untuk lebih
berhati-hati dengan modus operandi baharu penipuan Macau Scam yang didapati
kerap mengubah taktik bagi memperdaya mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk
Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket berkenaan yang dikenal pasti turut
melibatkan rangkaian di luar negara menyukarkan tindakan pembanterasan
dilaksanakan secara menyeluruh.
“Berdasarkan rekod, sepanjang tahun 2021, sejumlah 1,585 kes
Macau Scam telah disiasat melibatkan kerugian berjumlah RM560,886,377.14.
“Seramai 9,646 individu juga telah ditahan kerana disyaki
terlibat dengan kegiatan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, melalui pemantauan, sindiket itu dikesan
kerap mengubah modus operandi bagi memperdaya mangsa antaranya ialah mangsa
akan menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai
dari agensi penguatkuasa seperti polis, mahkamah, Bank Negara dan sebagainya.
“Mangsa akan dimaklumkan bahawa akaun bank mereka sedang
disiasat dan wang mereka akan dibekukan atau hilang. Bagi mengelakkan perkara
ini, mangsa akan diminta untuk membuka akaun bank baharu dan mengaktifkan
kemudahan perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon yang
diberikan pihak sindiket.
“Setelah mengikut semua arahan yang diberikan, mangsa akan
mendapati wang di dalam akaun mereka berkurangan,” jelasnya.
Selain itu katanya, sindiket itu juga akan membuat panggilan
telefon kepada mangsa dan memaklumkan bahawa mereka layak menerima insentif
atau bantuan daripada pihak kerajaan sebelum meminta ID dan kata laluan
perbankan dalam talian mangsa.
“Kononnya ia untuk memudahkan proses pembayaran bantuan
tersebut, namun selepas ID dan kata laluan diberikan, mangsa mendapati wang
dalam akaun mereka berkurangan,” tambahnya.
Justeru itu katanya, adalah ditegaskan bahawa sebarang
maklumat perbankan seperti ID, kata laluan dan nombor telefon adalah data yang
amat penting dan sulit.
“Maklumat ini sama sekali tidak boleh dimaklumkan kepada
orang lain khususnya individu yang tidak dikenali.
“Pihak polis juga tidak pernah meminta maklumat sebegini
dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.
Katanya, dalam usaha untuk membanteras kes-kes sebegini,
pihak polis menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan modus
operandi yang digunakan oleh penjenayah dan berhubung terus dengan polis
melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599 jika terdapat
sebarang kemusykilan.
– K! ONLINE
0 Response to "Waspada Modus Operandi Baharu Macau Scam"