Remaja Terselamat, Enam Rakan 'Belasah' Buaya Di Tuaran
TUARAN: Seorang remaja lelaki terselamat daripada dibaham
buaya selepas enam rakannya 'membelasah' haiwan tersebut di Sungai Kampung
Mengkabong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata
mangsa Azlan Arif Abdullah,16, cedera di bahagian badan, kaki kanan dan perut
dalam kejadian jam 3.30 petang.
Katanya, buaya berukuran kira-kira 1.52 meter panjang itu
menyerang dan menggigit salah seorang kumpulan remaja dan kanak-kanak yang
berumur antara sembilan dan16 tahun ketika mereka sedang mencari lokan dan
siput di sungai berkenaan.
"Mereka kemudiannya memukul buaya tersebut dengan apa
sahaja yang ada di tangan sehingga salah seorang berjaya mencederakan mata
buaya itu yang menyebabkannya melepaskan mangsa," katanya ketika dihubungi
Bernama, di sini hari ini.
Mohd Hamizi berkata mangsa tinggal berhampiran dengan sungai
paya bakau tersebut.
Katanya, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital
Tuaran dan akan dirujuk ke Hospital Kota Belud atau Hospital Papar untuk
rawatan lanjut berikutan kecederaan teruk yang dialami.
-- BERNAMA
0 Response to "Remaja Terselamat, Enam Rakan 'Belasah' Buaya Di Tuaran"